comscore
Tumpuan :
Dunia

Pengiktirafan negara Palestin oleh Ireland, Norway dan Sepanyol ‘langkah penting’ 

DOHA: Kumpulan Hamas mengalu-alukan keputusan Ireland, Norway dan Sepanyol untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai “langkah penting” dan menggesa negara lain untuk mengikutinya.

“Kami menganggap ini satu langkah penting ke arah mengesahkan hak kami ke atas tanah kami,” kata Hamas dalam satu kenyataan, menyeru “negara-negara di seluruh dunia untuk mengiktiraf hak negara kami yang sah”.

Hari ini, Norway, Ireland dan Sepanyol mengumumkan mereka akan mengiktiraf negara Palestin, mendorong Israel untuk segera memanggil utusannya.

Pemimpin Ireland berkata negaranya akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi tidak menyatakan masa, manakala pemimpin Norway dan Sepanyol berkata negara mereka akan berbuat demikian mulai 28 Mei.

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman itu di Oslo, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.

Israel segera mengumumkan bahawa ia memanggil semula utusannya ke Ireland dan Norway untuk “perundingan segera”.

“Hari ini, saya menghantar mesej tajam ke Ireland dan Norway: Israel tidak akan meneruskan perkara ini secara senyap,” kata Menteri Luar Israel Katz dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beliau merancang untuk melakukan perkara yang sama dengan Duta Sepanyol.

Kementerian Luar Israel sebelum ini telah menyiarkan mesej video yang ditujukan kepada Ireland di platform media sosial X memberi amaran bahawa “mengiktiraf negara Palestin berisiko menjadikan anda “budak” di tangan Iran dan Hamas”, sambil menambah langkah itu “hanya akan mencetuskan ekstremisme dan ketidakstabilan”.

Israel berkata, rancangan untuk pengiktirafan Palestin adalah “hadiah untuk keganasan” yang akan mengurangkan peluang penyelesaian rundingan untuk perang di Gaza, yang bermula pada 7 Oktober apabila Hamas menyerbu ke selatan Israel. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini