comscore
Tumpuan :
Dunia

Penumpang berang pesawat lewat 13 jam, tampar juruterbang 

NEW DELHI: Akibat tidak berpuas hati penerbangannya lewat, disebabkan faktor cuaca, seorang penumpang syarikat penerbangan India, IndiGo Airlines ditahan selepas menampar juruterbang.

Memetik laporan Hindustan Times, insiden itu berlaku semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Delhi ke Goa itu lewat 13 jam kerana kabus tebal yang menyelubungi sebahagian besar kawasan di utara India.

Lebih 100 penerbangan ditangguhkan di Delhi pada 14 Januari, namun operasi penerbangan singkat disambung semula pada pagi 15 Januari.

Satu video yang dimuat naik pengguna Instagram, @EvgeniaBelskaia pada 14 Januari memaparkan seorang juruterbang membuat pengumuman apabila seorang penumpang berhoodie kuning menerpa ke arahnya.

Penumpang itu menghayun tangannya secara agresif dan menampar juruterbang berkenaan, menyebabkan beliau tercampak ke belakang.

Dua pramugari bergegas untuk menghentikan penumpang itu daripada menyerang juruterbang itu lagi, dengan seorang daripadanya kedengaran berkata: “Encik, anda tidak boleh melakukan ini!”

Seorang lagi penumpang berhoodie biru kelihatan menghentikan penyerang berkenaan, menenangkannya dan berjalan bersamanya meninggalkan tempat kejadian.

The Indian Express melaporkan, penumpang itu ditahan selepas IndiGo Airlines memfailkan aduan terhadapnya.

Polis berkata, siasatan sedang dijalankan dan lelaki itu mungkin dihukum kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

IndiGo Airlines juga menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi menangani insiden itu dan mungkin mempertimbang untuk menambah penumpang dalam “senarai larangan terbang” mereka.

Seorang pengguna Instagram berkata, “Cuaca di Delhi sangat buruk dengan tahap penglihatan sifar. Bagaimana juruterbang boleh terbang (dan) membahayakan nyawa semua orang? Ia bukan di tangan mereka.”

Seorang lagi menulis, “Orang ramai hanya mahu sampai ke destinasi mereka, mati atau hidup. Mereka tidak kisah.”

Mengikut laman web penerbangan Flightradar24, sekurang-kurangnya 168 penerbangan dari Delhi ditangguhkan dan 56 penerbangan dibatalkan pada pagi 15 Januari.

Selain perkhidmatan penerbangan, sekurang-kurangnya 18 kereta api ke Delhi dari bahagian berlainan di India juga ditangguhkan kerana kabus tebal. — AGENSI

Loading...
Terkini