comscore
Tumpuan :
Dunia

Perang ragut impian pasangan Palestin untuk tunai haji

Pasangan Palestin Mahmoud dan Fatima Jarghoun, di dalam rumah mereka yang rosak di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, ketika ditemubual mengenai kehilangan peluang menunaikan haji kerana penutupan sempadan Rafah. – FOTO: Reuters

KHAN YOUNIS: Impian pasangan suami isteri di Palestin, Mahmoud dan Fatima Jarghoun, untuk menunaikan ibadah haji di Makkah musnah selepas tiada jalan keluar di Semenanjung Gaza akibat perang di kawasan berkenaan.

Menurut pasangan itu, mereka terpaksa menjual barang kemas bagi membayai kos untuk menunaikan haji, bagaimanapun tidak kesampaian.

“Kami seperti tinggal di dalam penjara. Di sempadan Rafah, tiada jalan masuk mahupun jalan keluar,” kata Mahmoud, 67, merujuk kepada sempadan ke Mesir yang ditutup sejak Israel melakukan serangan ke atas Gaza pada Mei lalu.

Menurut Fatima, 65, dia begitu kecewa kerana tidak dapat menunaikan haji, ditambah pula dengan penderitaan akibat perang di Gaza.

“Selepas itu, berlaku penutupan sempadan dan kami tidak boleh menunaikan haji di Makkah.

“Peperangan, kehancuran dan pengepungan ditambah pula sekatan tidak dapat menunaikan haji adalah sangat mengecewakan kami,” katanya.

Rakyat Palestin kebiasaannya menunggu giliran mereka selama bertahun-tahun selepas mendaftarkan nama mereka dengan pihak berkuasa Palestin bagi menunai haji.

Fatima berkata, mereka telah menunggu hampir 18 tahun untuk menunaikan haji di Makkah.

Menurutnya, dia dan suami telah menjual segala harta benda supaya dapat melaksanakan ibadah berkenaan.

Katanya, dia dan suaminya begitu gembira apabila nama mereka diluluskan untuk menunaikan haji kali ini tetapi akhirnya semua impian mereka musnah.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 37,000 orang di Gaza terkorban akibat serangan Israel di Palestin. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini