TEL AVIV: Puluhan penunjuk perasaan warga Israel bergelut dengan polis, dalam protes anti-perang di Tel Aviv pada hari Sabtu (11 Januari).
Polis menahan beberapa penunjuk perasaan, yang enggan berganjak dari jalan raya, dan menolak yang lain dalam usaha untuk menyuraikan kumpulan itu.
Pergaduhan itu menyusuli perhimpunan aman kira-kira 2,000 penunjuk perasaan yang mengecam kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan menuntut penamatan perang di Gaza dan perjanjian untuk membawa baki tebusan kembali ke Israel.
Pengantara sedang membuat usaha baharu untuk mencapai perjanjian bagi menghentikan pertempuran di Semenanjung Gaza dan membebaskan saki baki tebusan warga Israel yang ditahan di sana sebelum Trump mengambil alih jawatan Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari.
Perjanjian itu juga akan melibatkan pembebasan beberapa tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 46,537 rakyat Palestin dan mencederakan 109,571 sejak 7 Okt. 2023, kata kementerian kesihatan wilayah Palestin pada hari Sabtu.
Kementerian itu berkata 32 rakyat Palestin turut dilaporkan terbunuh dalam tempoh 48 jam yang lalu. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.