comscore
Tumpuan :
Dunia

Perjanjian damai Russia-Ukraine 2022 yang dibatalkan boleh dirunding semula

Putin sekali lagi membangkitkan subjek rundingan damai yang berpotensi dan berkata beliau terbuka kepada apa yang disebutnya rundingan realistik. FOTO: Reuters

MOSCOW: Perjanjian damai Russia-Ukraine 2022 yang dibatalkan boleh menjadi asas kepada rundingan baharu, namun tiada tanda bahawa Kyiv bersedia untuk rundingan, kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Presiden Russia, Vladimir Putin, telah berulang kali mengatakan bahawa Rusia dan Ukraine berada di ambang persetujuan untuk menamatkan permusuhan ketika rundingan di Istanbul pada April 2022, tetapi Ukraine berundur sebaik sahaja tentera Rusia menghampiri Kyiv.

Perjanjian itu dilaporkan termasuk klausa yang menuntut Ukraine mengamalkan status berkecuali dari segi geopolitik dan tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ia juga perlu mengehadkan saiz angkatan tenteranya dan memberikan status istimewa kepada timur Ukraine – semua perkara yang Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, jelaskan bahawa beliau menentangnya sama sekali.

Dalam kenyataan terbaharu, Putin sekali lagi membangkitkan subjek rundingan damai yang berpotensi dan berkata beliau terbuka kepada apa yang disebutnya rundingan realistik.

Bagaimanapun, beliau menentang persidangan peringkat tinggi dua hari yang akan dihoskan oleh Switzerland pada Jun ini atas permintaan Ukraine bagi mencapai keamanan, dan menegaskan adalah sia-sia jika Russia tidak mengambil bahagian.

Pada pandangan Putin, pertemuan itu tidak mengambil kira perkembangan baharu, termasuk pengilhamkan wilayah baharu Moscow di Ukraine.

Zelenskiy, dalam pertemuan dengan pelajar di barat Ukraine pada Jumaat, yang nampaknya menolak penggunaan rundingan 2022 sebagai asas untuk perbincangan lanjut, berkata, mesyuarat pada masa itu bukanlah perbincangan dalam erti kata sebenar.

Beliau juga menjawab: “tidak”, apabila ditanya sama ada rundingan 2022 di Belarus dan Turkiye berpotensi untuk menghentikan perang.

“Rundingan adalah apabila dua pihak mahu mencapai kata sepakat. Ada aspek berbeza, tetapi perlu ada dua pihak yang sedia berbincang secara terbuka.

“Bagaimanapun, jika satu pihak, dalam apa jua keadaan, tanpa mengira negara atau bandar, memberi anda kata dua, itu bukan rundingan,” katanya dalam siaran video di laman sesawangnya.

Seorang pegawai kanan Ukraine mengakui bahawa kedua-dua pihak hampir capai persetujaun dalam perjanjian di Turkiye pada 2022 tetapi Kyiv enggan meneruskannya kerana ia tidak mempercayai pihak Russia untuk melaksanakan sebarang perjanjian.

Jurucakap Putin, Dmitry Peskov, berkata banyak yang berubah sejak 2022, termasuk apa yang dikatakannya sebagai tambahan empat wilayah baharu kepada Russia, merujuk kepada bahagian Ukraine yang didakwa Moscow sebagai miliknya.

Namun, Peskov berkata, perjanjian Istanbul yang dibatalkan masih boleh menjadi asas untuk rundingan baharu dan Russia bersedia untuk itu.

Apabila ditanya sama ada Moscow berpendapat Ukraine sedia untuk rundingan, Peskov berkata: “Tidak, kami tidak merasakannya”.

Ukraine berkata, ia mahu semua wilayahnya kembali, termasuk Crimea, yang diilhamkan Moscow pada 2014, dan setiap askar Russia meninggalkan wilayahnya.

Ia cuba menyelaras rundingan antarabangsa bagi mencapai matlamat dan pendiriannya, dengan mengecualikan Russia. -REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini