comscore
Tumpuan :
Dunia

Perkahwinan Putera Mahkota Jordan meriah, dihadiri kerabat diraja seluruh dunia

Foto: Reuters

AMMAN: Putera Mahkota Jordan, Hussein Abdullah selamat bernikah dengan arkitek Arab Saudi, Rajwa Al Saif, dalam satu majlis perkahwinan yang dihadiri kerabat diraja seluruh dunia, semalam.

Upacara itu berlangsung di Istana Zahran, istana zaman pertengahan di ibu kota Amman.

Ia juga lokasi sama berlangsungnya majlis perkahwinan penting kerajaan Hashim itu termasuk Raja Abdullah II dan Ratu Rania, serta bapa raja, Raja Hussein Talal.

Putera dan Puteri Wales dari Britain turut menghadiri majlis pernikahan Putera Hussein dan isterinya, Rajwa al-Seif ketika di Istana Zahran, Amman. FOTO Istana Diraja Jordan/ Reuters

Antara tetamu terkenal yang hadir pada majlis berkenaan ialah Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, serta Raja Philippe dan Puteri Mahkota Belgium Elisabeth dan Putera Mahkota Denmark Frederik dan Puteri Mahkota Mary.

Perkahwinan yang sangat dinanti-nantikan itu disambut dengan meriah di seluruh Jordan. Ribuan orang berkumpul untuk menyaksikan perarakan di Amman. Jalan-jalan dihiasi dengan gambar pasangan itu dan sepanduk.

Sebuah kenderaan khas berwarna merah melintasi ibu negara dari Istana Zahran ke Istana Husseiniya di barat Amman.

Hussein adalah anak sulung raja dan Rajwa, masing-masing berusia 28 tahun, bernikah pada majlis yang dihadiri keluarga dan 140 tetamu termasuk Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jill Biden, serta Putera dan Puteri Wales dari Britain.

Hussein mengikuti jejak bapanya dengan menyertai Akademi Tentera Diraja Britain Sandhurst sebelum belajar sejarah di Universiti Georgetown di Washington.

Foto: Reuters

Puteri Rajwa dilahirkan dan dibesarkan di Riyadh, Arab Saudi yang konservatif, tetapi juga berpendidikan Barat serta menyambung pengajian dalam seni bina di Universiti Syracuse di New York.

Beliau berasal dari keluarga Al Sudayri di Najd yang diketahui mempunyai kaitan rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi.

Menurut bekas menteri penerangan, Samih Maaytah, Raja Abdullah II yang berusia 61 tahun yang menaiki takhta sejak 1999, sudah lama mempersiapkan anak sulungnya untuk menggantikannya.

Katanya, ini termasuk sering membawa Putera Hussein dalam lawatan penting dan mesyuarat.

Putera Hussein menjadi pewaris takhta pada 2009 selepas bapanya menarik gelaran itu daripada abang tirinya, Hamzah pada 2004.

Hamzah kemudiannya diletakkan di bawah tahanan rumah selepas dituduh cuba melakukan rampasan kuasa diraja pada 2021.

Pada tahun itu, Bassem Awadallah, seorang penasihat kepada Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman, disabitkan bersalah kerana bersubahat untuk menjatuhkan Raja Abdullah II.

Pada April 2022, Hamzah melepaskan gelaran dirajanya dengan mengatakan nilainya sendiri tidak lagi sejajar dengan ‘institusi kita’.

Loading...
Terkini