comscore
Tumpuan :
Dunia

Phoenix, bandar paling panas di AS pecah rekod suhu melampau

Penjaga zoo, Shinji Otsuru, menyiram air pada Elvis, kura-kura gergasi Galapagos, di Zoo Phoenix, ketika Arizona di Amerika Syarikat (AS) bergelut dengan gelombang haba melampau. – FOTO: Reuters

PHOENIX: Bandar padang pasir Phoenix, Arizona di Amerika Syarikat (AS) memecahkan rekod 113 hari berturut-turut dengan suhu melebihi 38 darjah Celsius tahun ini.

Menurut pegawai, keadaan suhu tinggi itu membawa kepada ratusan kes kematian akibat strok haba serta menyebabkan lebih banyak kawasan hutan terbakar di seluruh negeri.

Bandar yang dihuni seramai 1.6 juta penduduk dan menempatkan bandar terbesar di Gurun Sonora itu mengalami musim panas dengan suhunya mengatasi rekod 2023 iaitu mencatatkan kenaikan hampir dua darjah, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

Rekod suhu melampau berterusan selama 113 hari yang dicapai minggu lalu itu memecahkan rekod Phoenix sebelum ini iaitu 76 hari dengan suhu 37.8 darjah Celsius yang direkodkan pada 1993.

“Keadaan ini sangat jarang dialami terutama pada ketika dua musim panas yang memecahkan rekod seperti yang baharu dialami sekarang,” kata Ahli Meteorologi di Pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Phoenix, Matt Salerno.

Menurut data rasmi, strok haba mengakibatkan 256 orang maut setakat tahun ini di daerah Maricopa, Phoenix dan disyaki menjadi punca 393 kematian lain.

Tahun lalu, daerah itu merekodkan 645 kematian akibat suhu tinggi.

“Masih terlalu awal untuk mengunjurkan jumlah kematian keseluruhan tahun ini bagi dibandingkan dengan 2023,” kata Jurucakap Jabatan Kesihatan Awam Maricopa County, Nailea Leon.

Katanya, kematian akibat strok haba serta kematian disyaki berkaitan suhu tinggi setakat tahun ini berada di bawah paras 2023, namun ia tidak dapat disahkan memandangkan musim panas belum tiba ke penghujungnya.

Kira-kira separuh daripada kematian terdiri membabitkan individu yang tiada tempat berlindung iaitu kumpulan paling terdedah apabila suhu memuncak pada Julai sehingga setinggi 47.8 darjah Celsius, kumpulan yang paling terdedah di daerah itu.

Saintis iklim mengaitkan fenomena itu dengan pemanasan global daripada pencemaran bahan api fosil.

Sejak lima tahun kebelakangan ini, Phoenix mencatatkan purata 40 hari melebihi 47.8 darjah Celsius atau lebih tinggi berbanding kira-kira lima hari pada awal abad yang lalu, menurut Pejabat Iklim Negeri Arizona.

Cuaca panas melampau menyebabkan peningkatan skala kebakaran hutan di seluruh negeri bagi tahun ini berbanding 2023, menurut Pengarah Pejabat Iklim Negeri Arizona, Erinanne Saffell.

Gabungan antara hujan lebat yang luar biasa pada musim sejuk dan suhu panas melampau pada musim panas menyebabkan kebakaran hutan merebak luas di sekitar Los Angeles sejak beberapa minggu lalu.

Ia secara langsung menunjukkan bagaimana perubahan iklim boleh mempengaruhi cuaca dan meningkatkan risiko kebakaran. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini