comscore
Tumpuan :
Dunia

Pihak berkuasa Gaza beri amaran krisis kemanusiaan menjelang musim sejuk

FOTO: Reuters

GAZA: Pejabat Media Gaza pada Sabtu memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang bakal melanda dua juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza menjelang musim sejuk, lapor Agensi Anadolu.

Pasukan itu melaporkan bahawa 100,000 daripada 135,000 khemah perlu diganti segera kerana mengalami kerosakan teruk akibat cuaca panas terik dan keadaan iklim yang melampau di Gaza.

Pejabat berkenaan turut memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan yang sebenar apabila musim sejuk tiba, yang berpotensi menyebabkan jutaan penduduk tiada tempat berteduh.

Dalam kenyataan itu, pejabat itu menegaskan bahawa penutupan lintasan oleh Israel menghalang kemasukan kira-kira 250,000 khemah dan karavan yang sangat diperlukan ke Semenanjung Gaza.

Sehubungan itu, Pejabat Media Gaza menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi Arab untuk segera menyalurkan bantuan kepada dua juta penduduk yang memerlukan bagi menghadapi musim sejuk yang dingin dan musim panas yang terik.

Pejabat itu juga meminta tekanan dikenakan ke atas penjajah untuk menghentikan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Israel meneruskan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober lalu, meskipun Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan resolusi yang menuntut gencatan senjata serta-merta.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, hampir 41,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan lebih 95,200 cedera akibat serangan terbabit.

Serangan berterusan itu juga mengakibatkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, sementara sekatan yang dikenakan menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perubatan yang semakin kritikal. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini