comscore
Tumpuan :
Dunia

Pihak bertelagah di Sudan setuju lanjutkan gencatan senjata 

Foto: Reuters

TORONTO: Wakil Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) menandatangani perjanjian untuk melanjutkan lagi gencatan senjata selama lima hari.

“Pihak-pihak itu mengesahkan hasrat mereka untuk melanjutkan lagi gencatan senjata bagi membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan, membaik pulih kemudahan penting dan pemindahan anggota bersenjata dari hospital,” menurut akaun Twitter Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Khartoum.

AS dan Arab Saudi berperanan sebagai fasilitator untuk gencatan senjata itu, lapor Agensi Anadolu.

Foto: Reuters

Kedua-dua pihak yang bertelagah turut bersetuju untuk membincangkan gencatan senjata jangka panjang, termasuk pengosongan tentera dari kawasan bandar dan rumah awam, menghapuskan halangan untuk orang awam bebas bergerak dan membolehkan penjawat awam menyambung semula tugas.

Arab Saudi dan AS mengingatkan supaya kedua-dua pihak mematuhi kewajipan mereka di bawah perjanjian gencatan senjata jangka pendek 20 Mei dan Deklarasi Komitmen untuk Melindungi Orang Awam yang disepakati sebelum ini.

Pada 15 April lalu, pertempuran meletus antara Tentera Sudan dan RSF di ibu kota Khartoum dan wilayah sekitarnya. Lebih 600 orang telah terbunuh dan beribu-ribu lagi cedera. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini