Tumpuan :
Dunia

Pilihan raya AS: Butang panik, pasukan SWAT antara persedian menghadapi sebarang kemungkinan

WASHINGTON: Butang panik disediakan untuk petugas pilihan raya, pasukan khas bersenjata ditempatkan di atas bumbung bangunan, dan ratusan anggota Pengawal Kebangsaan berada dalam mod siap siaga – itu antara persediaan rapi dilakukan untuk menghadapi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung hari ini waktu tempatan.

Kempen pilihan raya itu menyaksikan saingan begitu sengit, malah aspek keselamatan pada hari pengundian ditingkatkan ke tahap belum pernah berlaku sebelum ini.

Ia berikutan kebimbangan akan kemungkinan tercetus kekacauan yang mengancam ketenteraman awam, penipuan berkaitan pilihan raya atau keganasan terhadap petugas pilihan raya.

Oregon, Washington serta Nevada sudah mengaktifkan Pengawal Kebangsaan, dan Pentagon memaklumkan bahawa sekurang-kurang 17 negeri membariskan hingga 600 tentera Pengawal Kebangsaan yang bersiap siaga untuk dikerah sekiranya keadaan diperlukan.

Selain itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendirikan pos kawalan pilihan raya nasional di Washington bagi menjalankan pengawasan serta pemantauan 24 jam sehari terhadap sebarang ancaman sepanjang tempoh minggu pilihan raya kali ini. Tahap keselamatan juga digandakan di kebanyakan daripada hampir 100,000 pusat pengundian AS.

Menurut Persidangan Kebangsaan Dewan Undangan Negeri, 19 negeri telah menggubal undang-undang peningkatan keselamatan pilihan raya sejak 2020.

Seiring kemuncak perlumbaan antara calon parti Demokrat, Kamala Harris, dengan Donald Trump daripada Republikan yang menyaksikan saingan amat sengit, pihak berkuasa giat berusaha meyakinkan rakyat AS serta meredakan kegelisahan pengundi bahawa undi mereka adalah selamat.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga bertungkus lumus meningkatkan keselamatan fizikal untuk operasi pilihan raya di seluruh negara.

Perkhidmatan Pilihan Raya Runbeck yang menyediakan teknologi keselamatan untuk operasi pilihan raya, semalam mengesahkan kepada AFP bahawa pihaknya telah menempah kira-kira 1,000 butang panik bagi pelanggan, termasuk fasiliti pilihan raya dan petugas mereka.

Peranti kecil itu yang dipakai sebagai ‘lanyard’ atau disimpan dalam poket, dipasang pada telefon bimbit pengguna dan akan menghubungi penguat kuasa undang-undang atau pihak berkuasa lain sekiranya berlaku kecemasan.
Pegawai-pegawai di tujuh negeri ‘atas pagar’ yang utama turut memfokus aspek keyakinan terhadap pilihan raya yang adil dan selamat.

“Di Georgia, mudah untuk mengundi dan sukar untuk menipu. Sistem kami adalah selamat dan rakyat kami sudah bersedia,” kata Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger, kepada pemberita, semalam.

Bagaimanapun, Raffensperger berkata, aktivis tertentu berkemungkinan akan membawa ‘drama tambahan’ dalam prosiding itu.

Namun, beliau tetap menjangkakan pilihan raya berlangsung dengan selamat di Georgia di mana Trump berdepan pertuduhan jenayah atas dakwaan campur tangannya dalam pilihan raya 2020.

Di Arizona – sebuah lagi negeri ‘atas pagar’ yang dilaporkan menjadi tumpuan pergolakan pada pilihan raya lalu – pegawai menjadikan fasiliti pilihan raya dan pusat pengiraan undi utama di County Maricopa, sebagai ‘kubu’.

Menurut mereka, fasiliti berkenaan kini dilengkapi pagar, kawat berduri, pengawal bersenjata dan anggota SWAT ditempatkan di atas bumbung bangunan.

“Sejak Januari 2021, pejabat kami meningkatkan aspek keselamatan meliputi akses menggunakan lencana, pemasangan pengadang kekal dan langkah keselamatan siber tambahan berdasarkan cadangan penguat kuasa undang-undang serta pakar lain,” kata Pengarah Komunikasi bagi Pejabat Penyimpan Rekod County Maricopa, Taylor Kinnerup, kepada AFP, semalam.

Jabatan Negeri Pennsylvania pula memaklumkan antara persediaan dilakukan pihaknya ialah bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan keselamatan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Sementara itu di Washington, pagar logam yang tinggi turut dipasang di sekeliling kediaman Naib Presiden dan Rumah Putih.

“Tiada tolak ansur untuk keganasan di bandar kami,” kata Ketua Polis DC, Pamela Smith, kepada pemberita, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini