AMMAN: Rakyat Jordan keluar mengundi hari ini bagi pilihan raya Parlimen yang dibayangi perang di Gaza, selain kebimbangan mengenai kemerosotan dalam pelancongan yang juga sektor penting kepada ekonomi negara itu.
Ia adalah pilihan raya pertama sejak reformasi pada 2022 yang menyaksikan peningkatan bilangan kerusi dalam dewan, peruntukan lebih banyak untuk wanita dan penurunan umur minimum bagi calon bertanding.
Di sebalik usaha memodenkan badan perundangan, pengundi dan calon berkata, perang Gaza mendominasi pilihan raya terbabit.
Penganalisis meramalkan jumlah yang memilih untuk tidak keluar mengundi adalah tinggi dengan calon Islami bergelut untuk ‘memanfaatkan’ kemarahan orang ramai susulan perang dahsyat yang tercetus berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel.
Jordan menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994, sekali gus menjadi negara Arab kedua yang berbuat demikian selepas Mesir.
Bagaimanapun, kira-kira separuh penduduknya yang berasal dari Palestin membuat bantahan bagi menyeru pembatalan perjanjian itu.
Ia kerap dibangkitkan sejak perang meletus.
Ketegangan semakin memuncak kira-kira dua hari sebelum pilihan raya apabila seorang lelaki warga Jordan yang lengkap dengan senjata membunuh tiga pengawal Israel di persimpangan sempadan antara Jordan dan Tebing Barat yang diduduki.
Ia adalah serangan pertama seumpamanya, sejak 1990-an.
Ini mencetuskan kebimbangan pengundi bahawa perang yang berterusan akan menjejaskan ekonomi secara berterusan sehingga Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
“Situasi ini semakin memburuk, misalnya dari segi peluang pekerjaan dan gaji yang rendah, selain waktu bekerja yang panjang,” kata pelajar kejuruteraan, Fayez al-Disi, 21 tahun.
Jordan berdepan kemerosotan pelancong sejak perang bermula dengan sektor itu menyumbang kira-kira 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Memandangkan Jordan ketika ini berdepan masalah ekonomi, hutang awamnya kini menghampiri AS$50 bilion (RM217 bilion) dan pengangguran mencecah 21 peratus pada suku pertama tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.