WASHINGTON: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Naib Presiden Kamala Harris akan berdebat buat kali pertama pada Selasa sebagai calon presiden bagi parti masing-masing dalam pilihan raya 2024, lapor Sputnik.
Kedua-dua calon akan berdebat pada 9.00 malam ET (0400 GMT) di Philadelphia, anjuran ABC. Trump dan Harris belum bersetuju secara rasmi untuk mengadakan debat lain menjelang hari pilihan raya pada November.
Perdebatan itu adalah yang pertama antara Trump dan Harris, walaupun Trump sebelum ini berdebat dengan Presiden Joe Biden pada Jun. Prestasi buruk Biden dalam debat itu mencetuskan kritikan sesama Demokrat yang membawa kepada keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding dan menyokong Harris sebagai penggantinya.
Seperti perdebatan antara Biden dan Trump, debat pada Selasa tidak akan melibatkan penonton studio. Calon juga akan disenyapkan mikrofon mereka apabila mereka tidak dibenarkan bercakap. – BERNAMA-SPUTNIK
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.