Tumpuan :
Dunia

Pilihan Raya Presiden Croatia menuju pusingan penentu

Presiden Zoran Milanovic

ZAGREB: Pilihan raya presiden Croatia menuju ke pusingan penentu pada 12 Jan selepas tiada calon memperoleh majoriti dalam pilihan raya pada Ahad, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Croatia (SEC), lapor Xinhua.

Dengan 99.88 peratus undi dikira, Presiden Zoran Milanovic yang disokong parti pembangkang terbesar, Parti Sosial Demokratik (SDP) mendahului dengan 49.10 peratus undi. Pesaing utamanya, Dragan Primorac daripada Kesatuan Demokratik Croatia yang memerintah, meraih 19.35 peratus undi, menurut SEC.

Di bawah undang-undang pilihan raya Croatia, jika tiada calon memenangi undian majoriti, dua calon dengan undian tertinggi akan bersaing dalam pusingan penentu dua minggu kemudian.

Dalam ucapan kepada penyokongnya, Milanovic menzahirkan penghargaan dan keyakinannya untuk menang.

“Saya percaya bahawa dalam dua minggu, kita akan meraikan kemenangan,” katanya.

Primorac pula menyifatkan pusingan kedua sebagai peluang besar.

“Sekarang peluang besar datang. Milanovic dan saya akan bertanding satu lawan satu, jadi kita akan lihat siapa yang lebih tahu dan lebih mewakili rakyat.

“Croatia memerlukan perubahan dan dalam dua minggu, ia akan menjadi detik bersejarah,” katanya.

— BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini