comscore
Tumpuan :
Dunia

PM, Kabinet baharu Thai angkat sumpah

Foto: Reuters

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan 35 menteri kabinetnya mengangkat sumpah pada Jumaat.

Paetongtarn mengetuai para menteri dalam upacara mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn di Dewan Kediaman Amphorn Sathan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Sabeeda Thaised dan Songsak Thongsri yang disahkan positif Covid-19 semalam, turut hadir dalam majlis itu pada Jumaat.

Paetongtarn, perdana menteri termuda di Thailand dijangka mengadakan mesyuarat khas kabinet selepas sesi bergambar rasmi kabinet baharu Thailand di Rumah Kerajaan pada Sabtu.

Dasar utama kabinet Paetongtarn akan memberi tumpuan kepada menangani cabaran ekonomi, termasuk memperkenalkan skim dompet digital, meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengawal selia harga produk pertanian dan memerangi dadah.

Foto: Reuters

Parti Pheu Thai, yang mengetuai gabungan membentuk kerajaan akan memegang beberapa portfolio utama, termasuk pertahanan, pengangkutan, kewangan, ekonomi digital, pelancongan, perdagangan, kebudayaan, kesihatan awam, dan kementerian luar.

Sementara itu, Parti Bhumjaithai, parti kedua terbesar dalam gabungan itu akan menguruskan kementerian dalam negeri, buruh, pendidikan, dan pendidikan tinggi, sains, penyelidikan, serta inovasi.

Parti Bangsa Thai Bersatu (UTN) akan mengendalikan kementerian tenaga dan perindustrian, manakala rakan gabungan baharu, Parti Demokrat, akan menguruskan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain itu, Ketua Parti Chart Thai Pattana, Varawut Silpa-archa dilantik sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, manakala Ketua Parti Prachachat, Pol Kol Thawee Sodsong menjadi Menteri Kehakiman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini