BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berharap gencatan senjata dan jeda kemanusian dengan Israel dapat dilakukan dengan segera.
Beliau juga mendakwa, wakil khas daripada Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, memberi isyarat positif dalam panggilan telefon semalam bahawa gencatan senjata dalam peperangan antara Israel dan kumpulan Hizbullah mungkin tercapai sebelum Pilihan Raya Presiden AS pada 5 November depan.
“Panggilan telefon hari ini (semalam) bersama Hochstein menunjukkan kepada saya bahawa mungkin kita dapat mencapai gencatan senjata dalam beberapa hari, sebelum 5 November (pilihan raya presiden AS),” kata Mikati dalam satu wawancara yang disiarkan oleh stesen penyiaran Lubnan, Al-Jadeed.
Selain itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Mattew Miller, dan Hochstein dilaporkan dalam perjalanan ke Israel bagi membincangkan syarat-syarat gencatan senjata dengan Hizbullah.
Pemimpin baharu Hizbullah, Naim Qassem, semalam berkata, kumpulan itu akan bersetuju dengan gencatan senjata dengan Israel di bawah syarat yang boleh diterima, bagaimanapun perjanjian yang berdaya maju masih belum dikemukakan.
“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencapai gencatan senjata dalam beberapa jam atau hari,” kata Mikati kepada Al-Jadeed, sambil menambah bahawa beliau optimis dengan berhati-hati.
Mikati berkata, Hizbullah tidak lagi mengaitkan gencatan senjata di Lubnan dengan gencatan senjata di Gaza, namun mengkritik kumpulan itu atas penarikan lewat pendiriannya.
Sebelum ini, Hizbullah sering menyatakan mereka hanya akan menghentikan serangannya terhadap Israel jika gencatan senjata dicapai di Gaza.
Qassem berkata, kumpulan itu akan menerima gencatan senjata di bawah syarat yang dianggap munasabah.
Mikati juga mendakwa, gencatan senjata akan dikaitkan dengan pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menamatkan perang 2006 antara Israel dan Hizbullah.
Resolusi Majlis Keselamatan 1701 menyatakan bahawa hanya tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB boleh ditempatkan di selatan Lubnan, sambil menuntut pengunduran pasukan Israel dari wilayah Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.