BERLIN: Polis sedang memburu seorang lelaki di sini pada Khamis selepas didapati meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di sebuah stesen kereta api susulan pemeriksaan rutin oleh polis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penyiasat terus mencari lelaki itu yang melarikan diri dari tempat kejadian di stesen kereta api Neukolln, selatan Berlin, selepas diperiksa polis pada petang Rabu.
Bahan letupan berkenaan kemudian diletupkan oleh pihak polis di sebuah taman berhampiran.
Media Jerman melaporkan bahawa bahan yang ditemukan dalam beg lelaki itu ialah “triacetone triperoxide”, memetik sumber keselamatan di ibu kota Jerman.
Bahan letupan itu sering digunakan oleh penjenayah yang menyasarkan mesin wang tunai, malah oleh pengganas dalam serangan besar di Brussels dan Paris.
Jurucakap polis pada Khamis berkata beliau “tidak dapat mengesahkan atau menafikan” laporan itu.
Penyiasat masih menyiasat latar belakang insiden itu, termasuk menggunakan rakaman dari stesen kereta api. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.