comscore
Tumpuan :
Dunia

Prabowo ikrar jadi Presiden untuk semua rakyat Indonesia, gesa perpaduan

JAKARTA: Keputusan rasmi mengesahkan kemenangan Prabowo Subianto dalam Pilihan raya Presiden Indonesia yang berlangsung 14 Februari lalu.

Ia menandakan kesinambungan dasar kerajaan apabila Presiden Joko Widodo atau Jokowi bakal berundur pada Oktober ini selepas sedekad berkuasa.

Berucap di hadapan penyokong di kediamannya semalam, Prabowo berikrar untuk menjadi Presiden kepada semua rakyat Indonesia.

Prabowo, 72, turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan sukarelawan yang berkumpul di kediamannya dan berkata pilihan raya berjalan lancar.

“Kami mengajak semua rakyat Indonesia untuk melihat ke hadapan dalam perpaduan kerana cabaran masih besar,” katanya sambil berikrar untuk membasmi kemiskinan dan ketidakadilan.

Kiraan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU), yang diumumkan semalam menunjukkan Prabowo dan Gibran Rakabuming Raka yang juga anak Jokowi menang dengan 96,214,691 undi iaitu 58.59 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

Pesaingnya yang juga bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan regunya, ahli politik veteran, Muhaimin Iskandar memperoleh 40,971,906 undi atau 24.95 peratus.

Bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, yang berpasangan dengan bekas ketua undang-undang dan menteri keselamatan, Mahfud MD menerima 27,040,878 undi atau 16.47 peratus.

Keputusan menunjukkan perbezaan tidak ketara berbanding kiraan pantas tidak rasmi oleh peninjau, yang meramalkan pasukan Prabowo-Gibran akan memperoleh hampir 60 peratus undi.

Regu itu juga menang 36 daripada 38 wilayah dengan memperoleh antara 41 dan 75 peratus undi di setiap wilayah.

Mereka tewas kepada pasukan Anies-Muhaimin di Aceh dan Sumatera Barat.

Mereka juga menang 63.7 peratus undi luar negara yang diperoleh daripada 128 jawatankuasa pilihan raya asing.

Hasil keputusan itu, Prabowo, 72, dan Gibran, 36, memenuhi syarat yang diperlukan untuk dipilih secara rasmi di bawah undang-undang Indonesia.

Ia menetapkan parti yang menang mesti memperoleh lebih 50 peratus undian keseluruhan dan sekurang-kurangnya 20 peratus undian di separuh wilayah.

Mereka dijadual mengangkat sumpah pada 20 Oktober depan.

Pilihan Raya Presiden penting kerana ia menandakan perubahan kepemimpinan pertama dalam satu dekad membabitkan demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini