
MOSCOW: Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Russia menyenaraikan Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Piotr Hofmanski sebagai antara individu dikehendaki negara itu.
Menurut laporan Xinhua yang memetik laporan media tempatan semalam, kementerian terbabit bagaimanapun tidak mengulas butiran dakwaan dikenakan terhadap Hofmanski.
“Hofmanski Piotr Jozef, Poland. Dikehendaki di bawah artikel Kanun Jenayah Persekutuan Russia,” lapor TASS, memetik kenyataan pangkalan data kementerian.
Selain Hofmanski, Naib Presiden Pertama ICC, Luz del Carmen Ibáñez Carranza dan hakim, Bertram Schmitt turut berada dalam senarai dikehendaki.
ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin dan Pesuruhjaya Presiden bagi Hak Kanak-Kanak Maria Lvova-Belova pada 17 Mac tahun ini atas dakwaan jenayah perang pengusiran yang menyalahi undang-undang kanak-kanak Ukraine.
Russia sebelum ini mengeluarkan waran tangkap untuk Pendakwa Raya ICC, Karim Khan dan beberapa hakim.
Russia yang bukan ahli ICC menegaskan waran terhadap Putin adalah “tidak sah”.
Pada September, ICC membuka pejabat lapangan di Ukraine, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menahan tentera Russia bertanggungjawab atas serangan Moscow di negara yang disokong Barat itu. – BERNAMA-XINHUA