
DHAKA: Presiden Perancis Emmanuel Macron dijadual melawat Bangladesh pada 10 Sept, Agensi Anadolu (AA) memetik Kementerian Luar Bangladesh pada Selasa.
Ini adalah kali pertama seorang presiden Perancis melawat negara Asia Selatan itu dalam tempoh 33 tahun.
Sebelum lawatannya ke Bangladesh, Macron akan berada di India bagi menghadiri sidang kemuncak G20 yang dijadualkan pada 9-10 Sept.
“Kedua-dua pemimpin itu dijangka menyaksikan beberapa instrumen dua hala ditandatangan dan mengadakan taklimat media bersama,” menurut kenyataan Kementerian Luar.
Kedutaan Perancis di Dhaka mengesahkan lawatan itu menerusi akaun media sosialnya.
“Ia juga akan menjadi peluang untuk memperkukuh hubungan dua hala kami dengan negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat serta berusaha untuk mempelbagaikan perkongsiannya,” menurut kedutaan itu. – BERNAMA-ANADOLU