comscore
Tumpuan :
Dunia

Presiden Syria tiba di Arab Saudi untuk hadiri Sidang Kemuncak Liga Arab

Foto : Reuters

RIYADH: Jeddah menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin tetap Liga Arab ke-32 pada Jumaat, dengan ketua rejim Syria, Bashar al-Assad hadir buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Penyertaan presiden Syria itu, selepas Syria kembali menjadi anggota Liga Arab awal bulan ini, tepat pada masanya untuk sidang kemuncak ke-50 dalam tempoh 77 tahun, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu, Agensi Berita Arab Saudi melaporkan pemimpin Oman, Mauritania, Tunisia, Mesir, Bahrain, Lubnan, Palestin dan Yaman turut tiba di Jeddah untuk menyertai sidang kemuncak itu.

Liga Arab yang dianggotai 22 negara, menggantung Syria pada November 2011 berikutan tindakan keras al-Assad terhadap tunjuk perasaan yang mencetuskan konflik yang mengorbankan lebih 500,000 orang dan berjuta-juta orang lagi kehilangan tempat tinggal.

Arab Saudi dan negara Arab lain memutuskan atau menurunkan status hubungan dengan al-Assad pada masa itu.

Namun awal bulan ini, Liga Arab mengalu-alukan kembali Damsyik, dengan tuan rumah Arab Saudi menjemput al-Assad ke sidang kemuncak pada Jumaat.

Foto : Reuters

Akhbar prokerajaan Syria al-Watan berkata al-Assad berkemungkinan akan bertemu “sebilangan pemimpin pada mesyuarat dua hala” pada petang Khamis dan pagi Jumaat.

Al-Assad kali terakhir menghadiri sidang kemuncak Liga Arab pada 2010 di Libya.  – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini