comscore
Tumpuan :
Dunia

Presiden Zimbabwe ulangi seruan afrika untuk reformasi Majlis Keselamatan PBB

Foto: Reuters

MANZINI: Presiden Zimbabwe memberitahu sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Khamis bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan kerangka keselamatan global yang adil dan inklusif.

Bercakap kepada perwakilan, Emmerson Mnangagwa berkata keselamatan global yang inklusif adalah penting untuk pembangunan mampan, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Keamanan dan keselamatan tidak seharusnya dikawal oleh segelintir orang yang mempunyai keistimewaan.

“Zimbabwe menegaskan semula gesaan Afrika untuk pembaharuan Majlis Keselamatan PBB selaras dengan Konsensus Ezulwini,” katanya.

Presiden mengkritik sesetengah negara kerana tindakan tersembunyi mereka di Afrika.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kecenderungan beberapa negara berkuasa yang menyeru kepada keamanan, hak asasi manusia dan demokrasi tetapi secara rahsia membiayai konflik dan perubahan kerajaan yang tidak berperlembagaan untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya.

“Kami seterusnya mengecam penggunaan sekatan unilateral dan haram sebagai alat dasar luar yang digunakan oleh beberapa negara berkuasa, seperti sekatan yang dikenakan ke atas Zimbabwe dan Cuba.”

Negara Afrika selatan itu telah dikenakan sekatan ekonomi pada 2000 kerana melaksanakan dasar pembaharuan tanahnya yang kontroversial yang membenarkan kerajaan merampas ladang daripada petani kulit putih dan mengagihkannya kepada warga kulit hitam Zimbabwe. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini