comscore
Tumpuan :
Dunia

Proses Dialog Damai Selatan Thailand: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal berakhir produktif dan kolaboratif

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Pertemuan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama kali ke-10, Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai (JWG-PDP) Wilayah Sempadan Selatan Thailand telah membuka jalan kepada pendamaian berkekalan dalam kalangan komuniti Patani di Wilayah Sempadan Selatan Thailand.

Mesyuarat teknikal yang diadakan bertujuan membincangkan kandungan hala tuju bagi proses perdamaian antara Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

Pejabat Fasilitator Kerajaan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Proses Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand berkata, pihaknya berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai selain menyatakan bahawa perbincangan adalah produktif dan kolaboratif, menghasilkan keputusan penting yang akan memacu inisiatif perdamaian ke hadapan.

“Langkah seterusnya adalah untuk memfokus kepada isu-isu tersebut demi mencapai pengurangan keganasan dan pemberhentian permusuhan di kawasan berkenaan dan memuktamadkan perkara yang berkaitan dalam Pelan Komprehensif Bersama ke Arah Pendamaian (JCPP).” menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, pertemuan yang berlangsung di ibu negara sejak 19 Mei lalu dan berakhir hari ini juga berjalan dalam suasana yang mesra.

“Barisan panel telah terlibat dalam perbincangan mendalam tentang butiran dan aktiviti pengurangan keganasan dan pemberhentian permusuhan, mekanisme pemantauan, dan Terma Rujukan (ToR) untuk pasukan pemantau.” jelas kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu, PEDP diketuai oleh Lt. Jen. Pramote Promin manakala panel BRN diketuai oleh Dr. Nikmatullah Seri.

Pada 22 Februari 2023, PEDP dan BRN sepakat membentuk JCPP sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024 dalam mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini