Tumpuan :
Dunia

Protes besar-besaran di Serbia desak perubahan kepimpinan

Orang ramai berkumpul semasa protes menentang dasar kerajaan, rasuah, dan menuduh kerajaan atas kematian mangsa dalam tragedi stesen kereta api Novi Sad pada November lalu, di Belgrade, Serbia, 22 Disember 2024. – FOTO: Reuters

BELGRADE: Puluhan ribu rakyat Serbia membanjiri pusat bandar Belgrade semalam dalam protes besar-besaran terhadap Presiden Aleksandar Vucic dan Parti Progresif Serbia (SNS) yang dipimpinnya.

Protes itu tercetus susulan runtuhan bumbung stesen kereta api di Novi Sad pada 1 November lalu, yang mengorbankan 15 nyawa.

Rakyat Serbia mendakwa kemalangan itu berpunca daripada pembinaan yang lemah akibat rasuah dan nepotisme dalam kerajaan.

Bagaimanapun kerajaan Serbia menafikan dakwaan tersebut, sementara Vucic menyatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Semasa perhimpunan semalam, para penunjuk perasaan menyalakan lampu telefon bimbit mereka dan bertafakur selama 15 minit sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.

“Kami mahu mereka di tampuk kuasa memahami bahawa mereka tidak lagi layak memerintah,” kata Dragica Jovanovic, seorang penunjuk perasaan, sambil menekankan kebimbangannya terhadap keengganan Vucic untuk menyerahkan kuasa secara damai.

Ivana Stankovic, seorang lagi penunjuk perasaan, berkata, “Saya masih mempunyai harapan bahawa negara ini boleh menjadi sebuah negara hukum dengan warganya bebas.”

Menurut agensi berita Serbia Tanjug, protes itu dihadiri sehingga 29,000 orang, berdasarkan laporan kementerian hal ehwal dalam negeri.

Protes itu menambah tekanan terhadap kerajaan Vucic, yang menghadapi desakan supaya mengambil tanggungjawab terhadap tragedi tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini