comscore
Tumpuan :
Dunia

Protes dasar sifar COVID-19 China merebak ke Beijing

FOTO: REUTERS

BEIJING: Warga Beijing memaksa diri mengharungi dingin malam untuk menyertai perhimpunan membantah sekatan ketat China terhadap COVID-19 dan memberi penghormatan terhadap mangsa yang maut dalam tragedi kebakaran di Urumqi.

Dalam tempoh beberapa jam saja, ratusan orang berkumpul di tebing sungai Liangma sewaktu suhu hampir membeku dan wartawan AFP di lokasi menyaksikan, ramai yang memegang kertas putih kosong, tanda simbolik bantahan terhadap penapisan maklumat.

Ada juga yang menyalakan lilin dan lampu dengan jambangan bunga diletakkan beserta sekeping kertas putih bertulis ‘untuk mangsa yang terkorban dalam kebakaran Urumqi pada 24 November’.

Protes mulai memuncak di seluruh Shanghai dan Beijing ekoran kebakaran maut di Urumqi, ibu kota wilayah barat Xinjiang – kematian yang didakwa berlaku kerana perintah berkurung yang ketat menghalang perkhidmatan kecemasan sampai kepada mangsa tepat pada masanya.

Selain laungan daripada penunjuk perasaan, mereka dengan jelas menentang dasar Sifar COVID-19 China.

Suasana protes sebahagian besarnya tenang, walaupun puluhan kereta polis diletakkan di jalan sekitar selain kehadiran anggota polis yang mengawal keadaan.

Pemandu kenderaan juga dilihat membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada penunjuk perasaan ketika mereka memandu di jalan berhampiran.

Polis cuba menyuraikan orang ramai sebelum jam 10:30 malam (waktu tempatan) namun mereka tetap berdiri teguh.

Pihak berkuasa kemudiannya terpaksa menutup laluan untuk menghalang kenderaan melaluinya dan kira-kira jam 1.45 pagi, kira-kira 100 anggota polis tiba-tiba bergerak ke arah penunjuk perasaan.

Puluhan penunjuk perasaan bersurai namun sekumpulan kecil iaitu kira-kira 100 orang kekal berada di bawah jambatan dengan sebahagian daripada mereka cuba membuat provokasi.

Tidak lama kemudian lebih banyak polis separa tentera datang dan ia mencetuskan kebimbangan berlakunya keganasan dan mendorong kira-kira separuh penunjuk perasaan meninggalkan lokasi itu dengan tergesa-gesa. – AFP

Loading...
Terkini