COCHABAMBA: Prostes dan sekatan jalan raya oleh penyokong bekas Presiden, Evo Morales di Bolivia mencetuskan krisis bekalan makanan di beberapa kawasan utama negara itu.
Insiden yang memasuki hari ke-17 itu menyebabkan pengeluar dan peniaga terpaksa membuang timbunan bekalan makanan yang rosak susulan jalan-jalan utama ditutup akibat sekatan berkenaan.
Malah, bahan asas seperti ayam turut mengalami peningkatan harga yang ketara dan rata-rata peniaga terpaksa menawarkan sisa ayam dengan harga yang murah.
Menurut Reuters, keadaan ini bepunca daripada ketidakstabilan politik antara Morales yang berhasrat kembali berkuasa dan Presiden Luis Arce yang enggan melepaskan jawatan.
Sementara itu, Presiden Luis Arce menyatakan sekatan tersebut memberi kesan besar terhadap ekonomi negara, dengan anggaran kerugian mencapai AS$1.7 bilion.
Sepanjang 17 hari protes berlangsung, lebih 70 orang termasuk 61 anggota polis, dilaporkan cedera dalam protes yang semakin meningkat di seluruh negara.
Bolivia kini sedang berhadapan dengan ketidakstabilan politik yang meruncing, berpunca daripada pertembungan kepentingan antara bekas presiden Evo Morales dan presiden semasa, Luis Arce.
Morales, yang merupakan tokoh politik kiri yang pernah memerintah Bolivia selama hampir 14 tahun, terpaksa melepaskan jawatannya pada 2019 di tengah kontroversi pilihan raya dan tekanan protes besar-besaran.
Pengunduran beliau mencetuskan konflik politik, menyebabkan pengambilalihan sementara oleh Jeanine Áñez sebelum akhirnya disusuli dengan kemenangan Luis Arce pada pilihan raya 2020.
Walau bagaimanapun, ketegangan antara Morales dan Arce berlanjutan, meskipun kedua-duanya berasal dari Parti Gerakan untuk Sosialisme (MAS).
Morales dikatakan masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam politik Bolivia, dan segelintir penyokongnya melihat Arce sebagai presiden yang tidak cukup agresif dalam melaksanakan dasar-dasar sosialis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.