Tumpuan :
Dunia

Puluhan mayat dengan kesan diseksa ditemui berhampiran hospital di Damsyik

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 40 mayat dengan kesan diseksa ditemui di sebuah hospital berhampiran Damsyik semalam oleh kumpulan pejuang pemisah.

Kesemua mayat itu dilaporkan disumbat ke dalam beg mayat bertulis nombor dan sesetengahnya ditulis nama mangsa.
Perkara itu disahkan pejuang dengan puak pemisah, Mohammed al-Hajj.

“Saya membuka pintu bilik mayat dengan tangan saya sendiri, ia adalah pemandangan yang mengerikan, kira-kira 40 mayat bertimbun menunjukkan tanda-tanda mangsa diseksa dengan kejam.

“Kami memaklumkan kepada komando tentera mengenai apa yang kami temui dan berkoordinasi dengan Bulan Sabit Merah Syria, yang membawa mayat-mayat itu ke hospital di Damsyik, supaya keluarga dapat datang dan mengenal pasti mereka,” katanya.

Rakaman oleh Mohammed menunjukkan mayat dengan tanda-tanda penyeksaan yang jelas, antaranya mayat tanpa mata dan gigi, kesan darah dan lebam.

Rakaman yang diambil di hospital Harasta juga menunjukkan sehelai kain mengandungi tulang temulang, mayat yang mereput dengan tulang rusuk terdedah.

Ahad lalu, bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad digulingkan dan melarikan diri ke Rusia.

Mohammed berkata, pejuang pemisah menerima maklumat daripada seorang pekerja hospital mengenai mayat yang dibuang di sana dan melakukan siasatan.

Pengasas Persatuan dan Badan Pemerhati Tahanan Hilang di Penjara Sednaya (ADMSP), Diab Serriya berkata, mayat-mayat itu berkemungkinan adalah tahanan dari penjara Saydnaya.

Menurut pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain, sekurang-kurangnya 60,000 orang terbunuh di bawah tahanan Assad.

Sejak permulaan konflik, kerajaan Assad dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia dan penyeksaan, rogol serta hukuman mati sewenang-wenangnya.

Mohammed berkata beliau berharap usaha itu akan memberi tumpuan kepada mendedahkan jenayah yang dilakukan oleh Assad di penjara dan pusat tahanan sepanjang tempoh peralihan.

Ujarnya, Assad perlu bertanggung jawab sebagai penjenayah perang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini