Tumpuan :
Dunia

Qatar gantung peranan menjadi pengantara gencatan senjata Gaza

Serangan ke atas Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah, Semenanjung Gaza oleh tentera Israel. – FOTO REUTERS

DOHA: Qatar menggantung peranannya sebagai pengantara utama dalam rundingan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan sehingga Hamas dan Israel membuktikan mereka ‘serius’ bagi berbincang, menurut Kementerian Luar Qatar.

Negara teluk yang menjadi tuan rumah kepada kepimpinan politik Hamas sejak 2012 dengan restu Amerika Syarikat (AS), sudah terbabit dalam diplomasi selama beberapa bulan bertujuan menamatkan perang susulan pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Namun, rundingan yang turut ditimbang tara oleh Kaherah dan Washington sering menemui jalan buntu sejak gencatan senjata seminggu pada November 2023, satu-satunya gencatan senjata yang dicapai setakat ini.

Kedua-dua pihak saling menuding jari menyalahkan satu sama lain atas kebuntuan itu, sementara nasib penduduk Gaza bertambah teruk manakala perang semakin merebak merangkumi Lubnan dan Yaman.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari, dalam satu kenyataan, Doha akan menghentikan usahanya untuk menjadi pengantara antara Hamas dan Israel jika persetujuan tidak dicapai dalam pusingan rundingan kali ini.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan 10 hari yang lalu dan Qatar akan menyambung semula usaha itu… apabila pihak-pihak terbabit menunjukkan kesediaan dan keseriusan,” katanya.

Menurut sumber diplomatik, pihak Qatar sudah memaklumkan kepada kedua-dua pihak, Israel dan Hamas, bahawa selagi mereka enggan berunding dengan niat baik, negara pengantara tidak boleh meneruskan tugas sebagai penimbang tara.

Antara faktor halangan utama adalah pendirian Hamas yang mendesak Israel menarik diri sepenuhnya dari Gaza, satu tuntutan yang ditolak keras oleh pegawai Israel.

 

Penduduk Palestin memeriksa keadaan kediaman yang dibom tentera Israel di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. – FOTO REUTERS

“Susulan kebuntuan rundingan gencatan senjata Gaza, pejabat politik Hamas di Doha tidak lagi berfungsi,” kata sumber diplomatik yang enggan dikenali.

Pihak berkuasa Qatar dan AS juga memberi isyarat bahawa Hamas akan kekal di Doha selagi keberadaan mereka menawarkan saluran komunikasi yang bermanfaat.

Sebaliknya, pegawai kanan Hamas di Doha berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permintaan untuk meninggalkan Qatar.

Sementara itu, lebih 2,700 orang terbunuh di Lubnan sejak 23 September, menurut angka kementerian.

Iran, yang menyokong kedua-dua Hizbullah dan Hamas, memberi amaran bahawa perang boleh merebak ke luar Asia Barat.

“Dunia harus tahu bahawa sekiranya perang meluas… ketidakamanan dan ketidakstabilan boleh merebak ke wilayah lain, walaupun jauh,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini