comscore
Tumpuan :
Dunia

Rafah – ‘Bandar kanak-kanak’ sepatutnya tidak boleh diserang – UNICEF

Penduduk Palestin bersiap sedia mengosongkan kem khemah selepas tentera Israel melancarkan operasi darat dan udara di bahagian timur Rafah semalam. – FOTO: Reuters

GENEVA: Bandar kanak-kanak, Rafah tidak boleh diserang, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semalam selain mendesak penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza diteruskan, lapor Agensi Anadolu.

“Ketakutan terburuk kami – mimpi ngeri penduduk Gaza – nampaknya menjadi kenyataan,” kata jurucakap agensi PBB itu, James Elder.

Elder menyatakan bahawa setiap amaran dan setiap “data yang mengejutkan” mengenai bilangan kanak-kanak dan ibu yang terbunuh serta rumah dan hospital yang musnah semuanya diabaikan.

Menegaskan Rafah sebagai bandar kanak-kanak kerana lebih separuh daripada kanak-kanak Gaza tinggal di bandar itu beliau berkata: “Peristiwa hujung minggu lepas di Gaza – pembunuhan berterusan kanak-kanak, lebih banyak serangan daripada pihak yang berperang dan kini arahan evakuasi – sekali lagi mendedahkan bagaimana pihak yang terlibat dalam konflik ini terus mengabaikan nyawa serta perlindungan terhadap kanak-kanak dan orang awam.”

“Itu perlu berubah. Sesungguhnya, ini adalah peluang terakhir untuk ini berubah,” katanya, dan menambah: “Bantuan mesti disalurkan. Rafah tidak boleh diserang dan kanak-kanak tidak boleh dibunuh lagi.”

Elder turut mengulangi gesaan UNICEF untuk menghentikan permusuhan, dengan berkata: “Bagi kanak-kanak Rafah, kami memerlukan gencatan senjata, sekarang.”

Jurucakap itu menekankan bahawa Rafah adalah pintu masuk untuk kebanyakan bantuan yang masuk ke Gaza.

“Operasi ketenteraan akan merumitkan penghantaran bantuan. Jika pintu Rafah ditutup untuk tempoh yang panjang, adalah sukar untuk melihat bagaimana kebuluran di Gaza boleh dielakkan,” kata Elder.

Serangan itu juga mengancam Hospital Eropah di Rafah yang merupakan antara talian hayat terakhir bagi orang awam di selatan Gaza.

Memburukkan keadaan kata Elder hanya terdapat kira-kira satu tandas untuk setiap 850 orang dan satu pancuran mandi untuk setiap 3,500 penduduk malah kini mereka diminta untuk berpindah.

Beliau berkata ratusan ribu kanak-kanak di Rafah mempunyai kecacatan, keadaan perubatan atau kelemahan yang meletakkan mereka dalam “bahaya yang lebih besar,” dan menyukarkan mereka untuk berpindah.

Rafah menempatkan lebih 1.5 juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal setelah berlindung daripada konflik yang meletus pada 7 Oktober.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini