comscore
Tumpuan :
Dunia

Rafah terus dicengkam Israel, Gaza berdepan bencana kemanusiaan terbesar

Kombinasi gambar menunjukkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan yang melarikan diri dari rumah mereka akibat serangan Israel, berlindung dalam khemah, di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. – Foto: Reuters

RAFAH: Gaza bakal berdepan bencana kemanusiaan terbesar susulan Israel memperketatkan cengkaman terhadap Rafah.

Amaran itu dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, ketika Israel tingkatkan operasi ketenteraan di sekitar selatan Rafah, sekali gus melumpuhkan kerja agensi bantuan.

Awal minggu ini, tentera darat Israel merampas kawasan timur bandar itu, termasuk bahagian Palestin di sempadan Rafah yang merangkumi lintasan antara Mesir dan Gaza, tetapi mereka masih belum memasuki kawasan utama.

Tentera Israel berkata, operasi kini diteruskan di timur bandar itu, bermakna keseluruhan Rafah kini sudah diserang Israel, baik melalui serangan udara atau operasi pasukan pertahanan Israel (IDF) di darat.

Setakat ini, belum ada tanda serangan besar-besaran yang diugut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengancam untuk menghentikan beberapa penghantaran senjata jika serangan diteruskan.

Namun, Netanyahu masih tidak berganjak daripada pendirian asal untuk memusnahkan Hamas dan jika perlu, sedia berdiri sendiri meneruskan serangan tanpa bantuan sesiapa.

“Kami bertekad dan bersatu untuk mengalahkan musuh serta mereka yang ingin menghancurkan kami,” katanya.

Netanyahu berulang kali berkata bahawa Israel tidak boleh mengalahkan Hamas tanpa menghantar tentera darat ke Rafah untuk mencari saki baki pejuang yang masih tinggal.

Namun, Washington memberi amaran mengenai kerosakan reputasi yang akan dialami Israel di mata masyarakat antarabangsa jika ia menyerbu bandar di mana kira-kira 1.4 orang awam Palestin kini berlindung.

 

Wanita Palestin, Buthayna Abu Jazar, memegang tangan anaknya Hazma, yang maut dalam serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. – Foto: Reuters

Operasi ketenteraan Israel di sekitar Rafah memberi kesan teruk kepada orang awam di Gaza, kata agensi PBB.

Lintasan Rafah, yang ditutup oleh tentera Israel Selasa lalu, adalah satu-satunya laluan yang digunakan untuk penghantaran bahan api.

PBB berkata, kehabisan stok bahan api di Gaza menyebabkan operasi agensi bantuan terhenti sama sekali.

Badan Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin, COGAT, berkata, ia menghantar 200,000 liter bahan api ke Gaza menggunakan lintasan berbeza semalam.

PBB berkata, kuantiti itu diperlukan setiap hari untuk memastikan trak bantuan bergerak dan penjana kuasa di hospital berfungsi.

“Lebih 100,000 orang yang berpindah dari kawasan lain di Gaza, melarikan diri dari Rafah minggu ini.

“Ramai kembali ke bandar Khan Younis, di mana pertempuran sengit berlaku awal tahun ini, atau bersesak-sesak di tempat perlindungan sepanjang pesisir pantai, Deir al-Balah.

Salah seorang pelarian, Malek al-Zaza berkata, tiada makanan dan air di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

“Tiada siapa yang bertanya mengenai kami, tiada siapa yang mencari kami… Kami hanya ada Tuhan yang menjaga kami,” katanya. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini