comscore
Tumpuan :
Dunia

Rakyat Israel terus luah kebencian, pentadbiran Netanyahu ‘paling teruk dalam sejarah’

FOTO: Reuters

TEL AVIV: Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di jalanan sambil mengibar bendera Israel melaungkan slogan menentang kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berhimpun di Tel Aviv.

Ia disifatkan sebagai perhimpunan mingguan terbesar setakat ini, yang diadakan penduduk Israel bagi menuntut pilihan raya umum (PRU) baharu dan mendesak pembebasan tebusan di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Perhimpunan seumpamanya diadakan di bandar besar serata Israel setiap minggu bagi membantah cara Netanyahu mengendali perang dengan Hamas, yang kini hampir memasuki sembilan bulan.

Ramai penunjuk perasaan membawa sepanduk yang tertera ‘Menteri Penjenayah’ dan ‘Hentikan Perang’.

Pertubuhan Protes Antikerajaan Hofshi Israel menganggarkan lebih 150,000 orang menghadiri perhimpunan itu, menyifatkan ia sebagai yang terbesar sejak perang di Gaza tercetus.

Beberapa penunjuk perasaan bertindak berbaring di jalanan dengan dilumuri cat merah di Dataran Demokrasi di bandar itu sebagai tanda protes pimpinan Netanyahu.

FOTO: Reuters

Dalam ucapan kepada orang ramai, bekas ketua Agensi Keselamatan Shin Bet Domestik Israel, Yuval Diskin, mengutuk Netanyahu sebagai ‘Perdana Menteri paling teruk’ Israel.

Ramai yang kecewa dengan gabungan sayap kanan negara itu termasuk Menteri Keselamatannya, Itamar Ben Gvir dan ultra nasionalis sayap kanan lain, yang terus menerus melakukan serangan zalim sekaligus meletakkan keselamatan mereka dan tebusan dalam risiko.

Hanya ratusan rakyat Israel terbunuh susulan peperangan dengan pejuang Hamas.

Keganasan dan kezaliman rejim Israel terhadapa penduduk Palestin bukan sekadar di Gaza, malah beberapa lokasi lain termasuk Tebing Barat dan Baitulmaqdis sehingga kini mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Menurut angka rasmi pasukan kesihatan dipimpin Hamas, angka korban terkini rakyat Palestin kini menjangkau 37,551 orang yang kebanyakannya orang awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini