comscore
Tumpuan :
Dunia

Rakyat Korea Selatan buat pembelian panik garam

Foto: Reuters

SEOUL: Warga Korea Selatan melakukan pembelian panik garam laut dan barangan lain susulan lonjakan tahap kebimbangan mengenai keselamatan mereka apabila Jepun dikatakan membuang lebih 1 juta tan metrik air radioaktif dari loji kuasa nuklearnya ke dalam laut.

Keadaan itu menyumbang kepada lonjakan kira-kira 27 peratus harga garam di Korea Selatan pada Jun, berbanding dua bulan lalu, selain pegawai mendakwa cuaca dan kadar pengeluaran rendah sebagai punca kenaikan itu.

Air berkenaan digunakan, terutama bagi menyejukkan reaktor yang rosak di loji kuasa Fukushima di utara Tokyo, selepas ia dilanda gempa bumi dan tsunami pada 2011.

Tiada tarikh khusus ditetapkan, namun air dari tangki simpanan besar itu dijangka dilepaskan ke Laut Pasifik tidak lama lagi.

Jepun berulang kali memberi jaminan air itu selamat, selain menjelaskan ia sudah ditapis bagi mengeluarkan kebanyakan isotop walaupun mengandungi kesan tritium, isotop hidrogen yang sukar dipisahkan.

Bagaimanapun nelayan dan pembeli di Jepun dan di seluruh rantau itu masih gusar.

Ibu kepada dua anak, Lee Young-min, 38, mengakui membeli lima kilogram garam, baru-baru ini, bertujuan menghasilkan sup rumpai laut di Seongnam di selatan Seoul.

Katanya, ia bagi melindungi keluarganya biarpun tidak pernah membeli dengan kuantiti berkenaan, sebelum ini.

“Sebagai ibu, saya tidak boleh berdiam diri. Saya mahu beri mereka makan dengan selamat,” katanya.

Kim Myung-ok, 73, pula mengakui kecewa kerana gagal membeli garam berikutan bekalan barangan itu di pasar raya sudah habis.

“Kali terakhir cubaan membeli garam juga gagal.

Pelan Jepun itu sangat membimbangkan. Saya sudah tua namun risau keadaan terpaksa dilalui golongan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perikanan, Song Sang-keun, semalam berkata kerajaan menerusi pelan tindak balasnya menetapkan hampir 50 tan metrik stok garam dijual pada kadar 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, sehingga 11 Julai ini.

Pihak berkuasa perikanan Korea Selatan pula berkata, akan membuat pemantauan rapi ke atas kilang garam bagi mengenal pasti pencemaran bahan radioaktif, selain republik itu mengharamkan tangkapan hidupan laut di perairan berhampiran Fukushima di pantai timur Jepun.

Rancangan Jepun itu turut mengundang kritikan China yang mendakwa negara matahari terbit berkenaan kurang telus, selain menyifatkannya menimbulkan ancaman kepada persekitaran marin dan kesihatan orang ramai di seluruh dunia.

Namun, Jepun mendakwa sudah memberi penjelasan terperinci mengenai rancangannya kepada negara jiran dan ia disokong dengan hujah berlandaskan sains.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno minggu lalu, mengakui terdapat peningkatan berhubung pemahaman mengenai isu berkenaan, walaupun dalam kalangan premis perniagaan di Seoul tidak begitu ketara, minggu ini. – REUTERS

Loading...
Terkini