
ABUJA: Lima belas anggota Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) pada Khamis berkata blok itu memutuskan untuk mengaktifkan pasukan siapsiaganya sebagai respons terhadap rampasan kuasa di Niger baru-baru ini, selain menekankan komitmen berterusan untuk memulihkan kerajaan perlembagaan di negara itu secara aman.
Dalam satu kenyataan di akhir sidang kemuncak luar biasa di Abuja, ibu negara Nigeria, blok serantau itu mengulangi kecaman kerasnya terhadap rampasan kuasa di Niger, sambil menyatakan sokongan penuhnya ke atas semua langkah dan prinsip yang dipersetujui pada sidang kemuncak tergempar ECOWAS pada 30 Julai.
Pemimpin ECOWAS mengarahkan jawatankuasa (ECOWAS) Ketua Turus Pertahanan untuk segera mengaktifkan pasukan untuk ditugaskan bagi memulihkan kerajaan di Niger, menurut kenyataan itu, lapor Xinhua.
Blok itu juga berkata ia akan menguatkuasakan semua langkah sekatan, khususnya penutupan sempadan dan larangan ketat perjalanan ke atas semua individu atau kumpulan yang dilihat boleh menghalang usaha untuk memulihkan ketenteraman di Niger.
Objektif utama pasukan serantau adalah untuk memulihkan kestabilan dan ketenteraman serta tadbir urus di Niger, menurut presiden Suruhanjaya ECOWAS,Omar Alieu Touray, kepada pemberita semasa taklimat di Abuja.
Tindakan blok Afrika Barat untuk menggerakkan pasukannya dibuat berikutan keengganan junta tentera Niger mengembalikan kuasa kepada Presiden Mohamed Bazoum yang diguling.
Tentera Niger menahan Bazoum pada 26 Julai dan memilih bekas ketua pengawal presiden Abdourahamane Tchiani mengetuai Majlis Kebangsaan bagi Perlindungan Tanah Air, sebuah badan pentadbir yang ditubuhkan oleh tentera selepas rampasan kuasa dan kini menjalankan tugas badan perundangan dan eksekutif.
Rampasan kuasa, ketiga seumpamanya di Afrika Barat dalam tempoh tiga tahun, dikecam oleh kebanyakan negara Afrika, yang melihat perubahan kuasa yang tidak mengikut perlembagaan itu sebagai ancaman kepada kestabilan dan pembangunan di benua berkenaan.
Masyarakat antarabangsa bimbang ketidakstabilan di rantau Sahel itu akan mewujudkan ekstremisme.
ECOWAS dianggotai Benin, Burkina Faso, Cabo Verde, Côte d’Ivoire, Gambia, Ghana, Guinea, Guinea-Bissau, Liberia, Mali, Niger, Nigeria, Senegal, Sierra Leone dan Togo. – BERNAMA-XINHUA