Tumpuan :
Dunia

Ratusan kediaman penduduk ditenggelami air di Bengkayang

Banjir di Bengkayang, Kalimantan Barat pada 14/1/2021 (KOMPAS)

INDONESIA: Ratusan kediaman penduduk ditenggelami air susulan limpahan air Sungai Sebalo akibat hujan lebat semalaman di Bengkayang, Kalimantan Barat kira-kira jam 5 pagi tadi waktu tempatan.

“Ratusan rumah di Jalan Swadaya dan kawasan perumahan, terutamanya yang berdekatan dengan sungai, semuanya terendam,” kata Yosua, seorang penduduk Bengkayang.

“Kami berharap pihak pemerintah dapat menormalisasi sungai dan mencari penyelesaian lain yang boleh membantu penduduk,” katanya.

Ketinggian air mencapai satu hingga satu setengah meter. Selain itu, beberapa penduduk yang terjejas telah berpindah ke tempat selamat, manakala sebahagian lagi masih bertahan untuk memantau keadaan rumah dan harta benda mereka.

Sementara itu, Ketua BPBD Bengkayang, Dwi Berta, berkata terdapat 11 daerah Bengkayang yang dilanda banjir, termasuk kawasan Pasar Bengkayang pada pagi ini.

11 daerah yang terjejas adalah Lumar (tanah runtuh dan banjir), Ledo, Seluas, Sanggau Ledo, Jagoi Babang, Teriak, Sungai Betung, Monterado, Sungai Raya, Sungai Raya Kepulauan dan Bengkayang.

“Diharapkan kepada seluruh warga Kabupaten Bengkayang untuk mengenali potensi bencana di kawasan masing-masing dan segera berpindah ke tempat yang selamat,” katanya.

Beliau turut meminta masyarakat untuk sentiasa berwaspada dan segera melakukan pemindahan jika keadaan sudah tidak lagi selamat.

“Jangan sampai pasukan penyelamat tidak dapat lagi melakukan evakuasi kerana situasi yang berbahaya,” tambahnya. – ANTARANEWS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini