
KARACHI: Ratusan wartawan Pakistan berhimpun pada Selasa untuk membantah undang-undang yang dicadangkan bagi mengawal kandungan media sosial, yang menurut mereka bertujuan menyekat kebebasan akhbar dan mengawal landskap digital.
Undang-undang itu akan mewujudkan sebuah badan pengawalseliaan yang mempunyai agensi penyiasatan dan tribunal sendiri. Mereka yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sebanyak 2 juta Rupee (AS$7,200).
Kesatuan Wartawan Persekutuan Pakistan (PFUJ) mengetuai perhimpunan di beberapa bandar termasuk Islamabad, Karachi, dan Lahore, menuntut kerajaan menarik balik rang undang-undang itu, yang telah diluluskan oleh Parlimen tetapi masih belum ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden.
“Di bawah undang-undang baharu yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan, hak asasi rakyat Pakistan terhadap kebebasan bersuara pada dasarnya dihapuskan,” kata wartawan Sami Abraham.
“Gerakan kami akan berterusan sehingga kami mati atau undang-undang hitam ini dimansuhkan,” kata Presiden PFUJ, Afzal Butt, dalam perhimpunan di Islamabad sebelum polis menghalangnya dan penunjuk perasaan lain daripada berarak ke Zon Merah, yang menempatkan sekretariat perdana menteri, parlimen, dan pejabat diplomatik.
Media digital di Pakistan sudah pun dikekang dengan langkah-langkah seperti perlambatan kelajuan internet oleh pihak berkuasa telekomunikasi, dan platform media sosial X telah disekat selama lebih setahun.
Reporters Without Borders, sebuah organisasi yang mempertahan kebebasan akhbar, meletakkan Pakistan di kedudukan ke-152 daripada 180 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024. Organisasi itu juga menyatakan bahawa Pakistan adalah salah satu tempat paling berbahaya bagi wartawan untuk bekerja.
Parlimen meluluskan pindaan terhadap undang-undang yang dikenali sebagai Akta Jenayah Elektronik Pakistan minggu lalu.
Kerajaan mempertahan peraturan baharu itu, dengan mengatakan ia diperkenal untuk menyekat berita palsu dan tidak benar. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.