comscore
Tumpuan :
Dunia

Rebah di hari perkahwinan 

NEW YORK: Seorang wanita pengsan di majlis perkahwinannya, dan video kejadian tular di TikTok hingga mendapat lebih setengah juta tontonan.

Pengantin perempuan Catherine Franks, 28, juga ahli terapi pertuturan dari Breaux Bridge, Louisiana, difahamkan pengsan akibat cuaca panas dan dehidrasi.

Portal New York Post melaporkan, Franks berkata, dia rebah selepas sempat berkata ‘Saya setuju’ (I do) di hadapan pasangannya, Alex, 26, yang juga seorang guru.

Video insiden Franks rebah itu berlaku di hari perkahwinan mereka pada Julai tahun lalu sebelum ia dimuat naik di TikTok.

“Apa yang saya ingat, saya baru sahaja berkata ‘saya setuju’ dan sedang menunggu doa terakhir supaya kami secara teknikalnya disahkan sudah berkahwin.

“Sebelum itu kami sudah berdiri selama 40 minit.

“Perkara seterusnya yang saya tahu, saya bangun dan hanya melihat but di sekeliling saya. Ayah dan suami saya memakai but koboi,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu suaminya seperti sudah menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku.

“Suami saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dan terus memandang saya.

Pada masa itu, penglihatan saya mulai gelap dan berasa sangat pening,” katanya.

Franks akhirnya rebah tiga kali di hadapan 300 tetamu yang hadir.

Alex dan seorang gadis pengiring pengantin, serta tetamu, bergegas membantu dengan mengipasnya semasa dia terbaring di atas lantai.

“Saya fikir, saya hanya perlu bangun dan selesaikan majlis. Suami saya benar-benar bimbang mengenai saya,” katanya.

Selepas kembali tenang, majlis perkahwinan Franks berakhir tanpa sebarang insiden buruk lain.

Namun, Franks sekali lagi jatuh sakit ketika dibawa menaiki bas ke majlis resepsi selepas upacara perkahwinan.

“Saya tidak pengsan lagi tetapi saya jatuh sakit ketika di dalam bas,” katanya.

Franks berkata, apa yang berlaku pada majlis perkahwinannya itu menjadi bahan jenaka dalam kalangan keluarganya.

“Keesokan harinya saya ke wad bilik kecemasan hospital kerana fikir saya dijangkiti virus, dan saya sangat dehidrasi.

“Pada masa itu ia menyedihkan, tetapi sekarang apabila mengenang semula ia sangat kelakar. Ia menjadikan hari itu sangat diingati. Ia kini menjadi bahan jenaka dalam kalangan keluarga,” katanya.

Franks berkongsi, dia dan Alex bakal menimang cahaya mata sulung mereka iaitu perempuan pada April depan.

“Ini akan menjadi detik lucu yang boleh dikongsikan dengan anak perempuan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini