comscore
Tumpuan :
Dunia

‘Resah kebenaran terus terbongkar’ Israel lanjut sekatan Al Jazeera

FOTO: Reuters

BAITULMAQDIS: Mahkamah Israel membenarkan penutupan saluran berita televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar selama 35 hari lagi.

Perkara itu diumumkan Kementerian Kehakiman Israel.

Al Jazeera, yang disiarkan dalam bahasa Arab dan Inggeris, tidak lagi disiarkan di Israel di bawah perintah sekatan 45 hari sejak awal bulan lalu.

Kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sekian lama berseteru dengan Al Jazeera dan kemarahan rejim itu memuncak sejak keganasan di Gaza bermula Oktober tahun lalu.

Mahkamah daerah Tel Aviv mengesahkan arahan menteri komunikasi untuk menghentikan siaran saluran Al Jazeera, menutup bironya di Israel, menyekat akses ke laman webnya dan merampas peralatan.

Kementerian itu dalam laman webnya berkata, perintah dikeluarkan semalam selepas permintaan pendakwa untuk pengesahan dan pelanjutan, dan ia adalah untuk tambahan 35 hari.

Penutupan itu, bagaimanapun tidak menjejaskan siaran dari Tebing Barat yang diduduki Israel atau Gaza, yang mana Al Jazeera masih konsisten membuat liputan perang Israel dengan pejuang Hamas Palestin.

Parlimen Israel April lalu juga meluluskan undang-undang keselamatan yang membolehkannya melarang penyiaran media asing di Israel yang menjejaskan keselamatan.

5 Mei lalu keputusan untuk melarang siaran Al Jazeera di Israel diluluskan dan pejabat agensi media itu ditutup 45 hari.

Namun, pada 9 Jun lalu Mahkamah Agung menjawab petisyen daripada Persatuan Hak Sivil di Israel, yang kemudiannya merujuk kes itu ke mahkamah daerah Tel Aviv.

Menteri Komunikasi, Shlomo Karhi dalam satu kenyataan sebelum ini menggelar Al Jazeera sebagai ‘juru bicara untuk keganasan Hamas’.

Pada Januari lalu, seorang wartawan kakitangan Al Jazeera dan seorang pekerja bebas yang terbunuh dalam serangan udara rejim di Gaza.

Namun Israel mendakwa kononnya kedua-dua mangsa ada kaitan dengan ‘operasi pengganas’.

Bulan berikutnya, seorang lagi wartawan saluran itu cedera dalam serangan berasingan pula dituduh sebagai ‘timbalan komander’ kaitan dengan Hamas.

Al Jazeera secara terang-terangan menafikan dakwaan itu.

Ini jelas propaganda penipuan dan cerita yang sengaja direka Israel bagi mengaburi niat jahat rejim itu untuk menyerang Gaza dan semua entiti berkaitan.

Susulan itu, badan pemantau media Reporters Without Borders (RSF) menggesa agar segala sekatan dibatalkan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Amerika Syarikat dan Jerman turut menentang larangan itu.

Untuk rekod, Israel kini berada di kedudukan 101 daripada 180 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia RSF 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini