comscore
Tumpuan :
Dunia

Ribuan Biri-Biri Ambil Alih Jalanan Di Kota Madrid

Kawanan kambing dan biri-biri dibawa menerusi ibu kota sesak di Madrid. – FOTO : AFP

MADRID : Ribuan kambing dan biri-biri hari ini memenuhi jalan raya di sekitar Madrid selaku pusat ibu kota Sepanyol, sekali gus ‘menggantikan’ kereta di jalanan.

Senario unik itu susulan pergerakan menyusuri laluan purba pengembala sambil membawa kawanan biri-biri melalui ibu kota itu ke padang rumput di selatan untuk merumput pada musim sejuk.

Yang pasti, kesempatan ini tidak dilepaskan penduduk tempatan dan pelancong yang berbaris di sepanjang laluan untuk menyaksikan sendiri ribuan ternakan berjalan melalui bandar, sambil ditemani bunyi kuat dihasilkan loceng pada leher biri-biri.

Orang ramai melihat kawanan kambing dan biri-biri dibawa menerusi ibu kota sesak di Madrid. – FOTO : Reuters

Acara tahunan itu dihidupkan semula pada 1994 sebagai sebahagian ‘Fiesta de la Trashumancia’ tahunan Madrid, selepas parlimen Sepanyol mengiktiraf laluan tradisional digunakan pengembala untuk membawa ternakan mereka.

Beberapa abad lalu, laluan itu digunakan pengembala bersama kawanan biri-biri melalui kawasan luar bandar yang tenang. Namun, hari ini ia melintasi beberapa kawasan paling sibuk di bandar, termasuk Plaza Mayor di dataran utama Madrid.

Kawanan kambing dan biri-biri dibawa menerusi ibu kota sesak di Madrid. – FOTO : Reuters

Penonton merakam foto dan video menggunakan telefon bimbit masing-masing, manakala beberapa kanak-kanak menghulurkan tangan untuk membelai biri-biri.

Ramai terkejut dengan pemandangan tidak dijangka di bandar yang biasanya sesak dengan lalu lintas itu.

“Sangat gila kerana terdapat begitu banyak biri-biri, saya tidak pernah melihat apa-apa seperti itu.

“Ia cara yang bagus untuk belajar tentang sejarah Sepanyol dan budaya Sepanyol,” kata Maria Kouriabalis, guru bahasa Inggeris warga Amerika Syarikat (AS) berusia 22 tahun yang baru sebulan menetap di Madrid. – REUTERS

Loading...
Terkini