Tumpuan :
Dunia

Ribuan diarah berpindah susulan kebakaran di Melbourne

FOTO: Ihsan Hamilton Fire Brigade.

SYDNEY: Penduduk di beberapa bandar di barat Melbourne, Australia, diarahkan untuk segera berpindah berikutan kebakaran belukar yang semakin tidak terkawal, lapor Xinhua.

Sehingga pagi Sabtu waktu tempatan, amaran berpindah dikeluarkan untuk enam bandar di sekitar Taman Negara Grampians, kira-kira 230 kilometer (km) dari barat Melbourne.

Komander Country Fire Authority Alan Slijepcevic, berkata kebakaran yang tercetus pada Isnin lalu itu merebak dari 7,500 hektar pada pagi Jumaat kepada lebih 28,000 hektar pada Sabtu.

Pasukan bomba melakukan persiapan untuk memadam kebakaran di Taman Negara Grampians. -FOTO: Ihsan Hamilton Fire Brigade.

Beliau berkata kira-kira 400 anggota bomba sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran menggunakan 100 jentera, 25 pesawat dan peralatan berat lain.

Kira-kira 2,500 penduduk diarahkan untuk segera berpindah, manakala penduduk di sembilan bandar lain juga dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman mereka. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini