comscore
Tumpuan :
Dunia

Ribuan rakyat New Zealand mohon jadi warga Australia di bawah peraturan baharu 

FOTO: REUTERS

CANBERRA : Beribu-ribu warga New Zealand telah memohon kewarganegaraan Australia pada minggu pertama peraturan baharu permohonan kerakyatan itu dibuka, lapor Xinhua.

Menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Ahad, lebih 15,000 warga New Zealand yang tinggal di Australia telah memohon sejak perubahan baharu dilaksanakan pada 1 Julai.

Di bawah perubahan yang diumumkan Perdana Menteri Anthony Albanese pada April itu, rakyat New Zealand yang memenuhi beberapa syarat kelayakan boleh menjadi warganegara tanpa perlu terlebih dahulu menjadi penduduk tetap di Australia.

Perubahan ini sekali gus membatalkan peraturan yang diperkenalkan pada tahun 2001 yang melucutkan laluan langsung New Zealand untuk mendapatkan kewarganegaraan Australia, sebaliknya diberi visa kategori khas yang membenarkan mereka tinggal di Australia tetapi tidak dapat mengakses pinjaman pelajaran atau bantuan kebajikan.

Mengulas jumlah permohonan itu, Menteri Imigresen Andrew Giles berkata kira-kira 500 pemohon telah pun diluluskan.

“Seramai 15,000 telah memohon untuk menjadi warga Australia dalam masa 40 hari sahaja sejak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mewujudkan laluan kewarganegaraan yang lebih adil kepada warga New Zealand yang tinggal dalam komuniti kami,” katanya.

Daripada keseluruhan permohonan sejak 1 Julai, kira-kira separuh terdiri warga New Zealand.

Rakyat New Zealand yang menetap di Queensland paling ramai memohon, diikuti Victoria dan New South Wales. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini