comscore
Tumpuan :
Dunia

Rishi Sunak Bakal Dilantik Perdana Menteri Britain

LONDON : Bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak, memenangi persaingan menerajui Parti Konservatif, hari ini sekali gus bakal muncul sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di Britain.

Penny Mordaunt, pesaing terakhir Sunak selepas Boris Johnson menarik diri secara dramatik, gagal meraih 100 undi diperlukan daripada Ahli Parlimen untuk mencatat kemenangan.

“Sehubungan itu, Rishi Sunak dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Konservatif,” kata penyokong kanan, Graham Brady, yang turut menyaksikan Mordaunt berikrar memberi sokongan penuh kepada Sunak.

Dalam pada itu, Mordaunt turut berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Sunak.

Kejayaan Sunak itu menyusul selepas Johnson, lewat semalam, mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan persaingannya merebut jawatan berkenaan.

Pencapaian Sunak kali ini ternyata melakar sejarah tersendiri, hanya beberapa minggu selepas beliau tewas kepada Liz Truss untuk menerajui parti pemerintah itu.

Pemilihan itu yang diadakan berikutan peletakan jawatan Truss pada Khamis lalu, memerlukan calon bertanding memperoleh sokongan sekurang-kurang 100 Ahli Parlimen daripada Parti Konservatif menjelang jam 2 petang tadi.

Brady mengumumkan, hanya Sunak berjaya mencapai nilai ambang itu.

Sunak, seorang waris kaya Hindu daripada keturunan India dan Afrika Timur, melepas nilai ambang berkenaan menjelang malam Jumaat lalu, selain memperoleh hampir 200 pencalonan awam.

Tindakan Johnson berundur sebelum beliau mengumumkan pencalonannya secara rasmi menjadikan Mordaunt satu-satunya ahli kabinet tampil menyaingi Sunak.

Bagaimanapun, Mordaunt gagal meraih sokongan diperlukan, sekali gus menyaksikan persaingan terbabit berakhir.

Jika Mordaunt berjaya mendapat sokongan itu, maka pemenang akan ditentukan oleh kira-kira 170,000 ahli parti melalui pengundian secara dalam talian, dengan keputusan hanya akan diumumkan menjelang hujung minggu.

Parti Konservatif terpaksa mengadakan pemilihan kali kedua sejak musim panas, susulan peletakan jawatan Truss selepas memegang jawatan itu hanya selama 44 hari berikutan respons buruk pasaran terhadap bajet mini dengan pengurangan cukai yang diketengahkannya. – AFP

 

 

Loading...
Terkini