
NEW YORK: Tokoh media berpengaruh dunia, Rupert Murdoch mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi syarikat-syarikat yang diasaskan, Fox Corporation dan News Corporation sekali gus mengakhiri kariernya selama lebih tujuh dekad.
Murdoch 92 tahun dalam memorandum kepada pekerja-pekerjanya menyatakan, sepanjang seluruh hidup profesionalnya, beliau telah terlibat setiap hari dengan berita dan idea dan itu tidak akan membawa apa-apa perubahan baharu.
Justeru, masanya tepat bagi untuk beliau mengambil peranan berbeza, dan memaklumkan legasi ditinggalkan mempunyai pasukan yang benar-benar berbakat.
Sebagai pemimpin Fox dan News Corporation, yang menerbitkan akhbar berpengaruh seperti The Wall Street Journal dan akhbar gosip New York Post, Murdoch telah menguasai pengaruh yang besar dalam Parti Republikan dan hanya disaingi oleh beberapa orang terpilih.
Menurut laporan portal media antarabangsa, anak lelaki beliau, Lachlan Murdoch, akan menjadi Pengerusi tunggal News Corp dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fox.
Peralihan ini sekali gus mengukuhkan peranan Lachlan sebagai pemimpin empayar media itu dan mengakhiri persoalan mengenai siapa yang bakal meneruskan legasi Murdoch.
Murdoch yang mengawal pemilikan saham hampir penuh dalam kedua-dua syarikat itu, akan dilantik sebagai Pengerusi Emeritus bagi kedua-dua syarikat terbabit.

Murdoch yang mempunyai enam orang anak sudah lama menyimpan hasrat agar anak-anaknya mengambil alih empayarnya.
Anak lelakinya, James, sebelum ini adalah CEO Twenty-First Century Fox sebelum syarikat tersebut memutuskan untuk menjual aset filem dan televisyennya kepada Walt Disney Co dengan nilai AS$71.3 bilion (RM334.5 bilion), perjanjian yang berakhir pada tahun 2019.
James kemudian mengalihkan hasil daripada perjanjian itu ke sebuah firma pelaburan persendirian, Lupa Systems. Lachlan pula dilantik sebagai CEO Fox Corp yang baharu.