MOSCOW: Rusia dan China sedia untuk menandatangani perjanjian kerjasama mengenai Stesen Artik Antarabangsa “Snowflake”, kata Duta Besar Kementerian Luar Rusia, Nikolai Korchunov, kepada Sputnik.
“Satu draf perjanjian kerjasama telah dipersetujui bersama China, tarikh dan tempat penandatanganannya sedang diusahakan. Semua organisasi saintifik dan pendidikan yang berminat, serta syarikat-syarikat China, boleh menyertai projek ini,” kata Korchunov.
Kementerian Sains dan Teknologi China telah memilih Universiti Kejuruteraan Harbin sebagai rakan kongsi penyelaras Rusia dalam projek ini, kata diplomat tersebut.
Rusia terbuka untuk pembangunan kerjasama saintifik yang saling menguntungkan di kawasan Artik dan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan kemungkinan negara-negara lain yang berkaitan dengan kerjasama dalam projek “Snowflake”, tambahnya.
Stesen Artik Antarabangsa “Snowflake” direka sebagai kemudahan penyelidikan sepanjang tahun yang beroperasi dengan tenaga boleh diperbaharui dan bahan api hidrogen.
Stesen itu bertujuan untuk menjadi platform bagi saintis dan penyelidik lain untuk mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dengan kawasan Artik. Stesen itu terdiri daripada beberapa bangunan jenis kubah yang dihubungkan oleh laluan.
Kedudukan bangunan dari udara menyerupai emping salji, yang menjadi sebab projek stesen itu diberi nama “Snowflake.” –BERNAMA-SPUTNIK