UKRAINE: Russia melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine menggunakan peluru berpandu dan dron sehingga membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang.
Ia dianggap serangan terbesar dalam beberapa bulan yang digambarkan Kyiv sebagai “malapetaka”.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Moscow melancarkan 120 peluru berpandu bersama hampir 100 dron, menyasarkan ibu kota Kyiv serta kawasan selatan, tengah, dan barat negara itu.
Mangsa yang maut dalam serangan itu dilaporkan di beberapa wilayah termasuk Mykolaiv, Lviv, Kherson, Dnipropetrovsk dan Odesa.
Serangan itu menurut pegawai di Kyiv adalah salah satu serangan terbesar sepanjang hampir tiga tahun pencerobohan Russia. Kemusnahan ini berlaku pada saat Moscow terus mara di timur Ukraine, di samping kebimbangan mengenai kemungkinan kembalinya Donald Trump ke Rumah Putih, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai masa depan sokongan Amerika Syarikat kepada Kyiv.
“Malam yang mengerikan,” kata jurucakap tentera udara Ukraine, Yuriy Ignat, di media sosial, sambil menambah bahawa Kyiv berjaya menembak jatuh “144 sasaran”.
Serangan besar-besaran Russia itu berlaku dua hari selepas Canselor Jerman, Olaf Scholz, buat kali pertama dalam hampir dua tahun, menghubungi Presiden Russia, Vladimir Putin, bagi menggesa Kremlin menghentikan serangan yang memusnahkan Ukraine.
Kyiv mengkritik Scholz kerana berhubung dengan Putin, dan pada hari ini menyatakan bahawa serangan berkenaan adalah jawapan sebenar Kremlin.
“Inilah jawapan sebenar perang Putin kepada semua yang menghubungi atau melawatnya baru-baru ini,” kata Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga, selepas serangan itu.
“Kita memerlukan keamanan melalui kekuatan, bukan sikap tunduk,” katanya.
Scholz hari ini mempertahankan tindakan itu dan menegaskan bahawa sokongan Berlin kepada Kyiv tetap kukuh.
“Ukraine boleh bergantung kepada kami,” kata pemimpin Jerman itu sebelum berangkat ke mesyuarat G20 di Brazil, sambil berjanji “Tiada keputusan akan dibuat di belakang Ukraine” bagi menamatkan konflik berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.