comscore
Tumpuan :
Dunia

Russia Sahkan Letupan Trak Punca Jambatan Utama Kerch Rosak Teruk

MOSCOW: Russia hari ini mengesahkan satu letupan trak mencetuskan kebakaran besar dan merosakkan jambatan utama Kerch, yang sebelum ini dibina sebagai satu-satunya hubungan darat Russia dengan Crimea.

Meskipun berikrar untuk mencari siapa bertanggungjawab mendalangi perbuatan itu, negara itu tidak segera menyalahkan Ukraine.

Russia berkata, letupan itu membakar tujuh tangki minyak yang diangkut dengan kereta api dan merobohkan dua lorong kereta di jalan gergasi dan struktur rel itu.

Rakaman media sosial yang dramatik menunjukkan jambatan itu terbakar dengan beberapa bahagian infrastruktur terjunam ke dalam air.

“Hari ini pada jam 6:07 pagi (waktu tempatan) di tepi tiang trafik jalan jambatan Crimea …sebuah bom kereta meletup dan membakar tujuh tangki minyak yang dibawa dengan kereta api ke Crimea,” lapor agensi berita Russia.

Jambatan itu dirasmikan sendiri oleh Presiden Russia, Vladimir Putin, pada 2018, dan menjadi rangkaian pengangkutan penting untuk membawa peralatan ketenteraan kepada askar Russia yang bertempur di Ukraine.

Ia juga sangat penting bagi Kremlin dan Moscow untuk mengekalkan keselamatan persimpangan jambatan itu, walaupun berlaku pertempuran.

Penasihat presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak, sebelum ini memuat naik di Twitter gambar bahagian panjang jambatan itu separuh tenggelam.

“Crimea, jambatan, permulaan. Semua yang haram mesti dimusnahkan dan semua yang dicuri mesti dikembalikan ke Ukraine, semua yang diduduki oleh Russia mesti diusir,” katanya.

Agensi berita Russia juga melaporkan, jurucakap Kremlin berkata, Putin turut mengarahkan satu suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat letupan itu.

Jawatankuasa penyiasat Russia sudah membuka siasatan jenayah ke atas letupan itu dan menghantar detektif ke tempat kejadian.

Jawatankuasa itu berkata, sebuah trak meletup di bahagian kereta jambatan Crimea dari sisi Semenanjung Taman dan menyebabkan tujuh tangki bahan diangkut kereta api menuju ke Semenanjung Crimea terbakar dan meruntuhkan dua lorong.

Pegawai di Moscow belum menyalahkan Kyiv, namun seorang pegawai Crimea di Russia menuding jari kepada ‘perosak Ukraine’ manakala seorang lagi di wilayah Kherson yang berdekatan pula berkata, pembaikan jambatan itu boleh ‘mengambil masa dua bulan’.

Jurucakap Kementerian Luar Russia pula berkata, reaksi Kyiv terhadap letupan itu menunjukkan ‘sifat pengganas’. – AFP

Loading...
Terkini