comscore
Tumpuan :
Dunia

Rusuhan Bola Sepak, 17 Kanak-kanak Dan Remaja Antara Maut

JAKARTA : 17 kanak-kanak dan remaja antara 125 mangsa yang terkorban dalam insiden rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam Sabtu lalu.

Kakak sulung dua mangsa, Endah Wahyuni berkata, dia tidak menyangka insiden itu mengorbankan dua adiknya, Ahmad Cahyo, 15, dan Muhammad Farel, 14, yang maut dalam rusuhan itu.

“Saya sekeluarga tidak menyangka akan jadi begini.

“Mereka suka bola sepak, tetapi tidak pernah menonton Arema secara langsung di Stadium Kanjuruhan, ini kali pertama mereka pergi sana,” katanya ketika pengebumian dua adiknya itu.

Remaja terbabit antara 17 kanak-kanak dan remaja yang terbunuh, kata agensi berita negeri Antara, memetik angka daripada Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak.

“17 kanak-kanak meninggal dunia dan tujuh dirawat, tetapi ada kemungkinan jumlah itu akan meningkat,” kata seorang pegawai kementerian, Nahar.

Badan induk bola sepak dunia, Fifa menggesa pihak berkuasa bola sepak Indonesia membentangkan laporan insiden itu.

“Insiden itu adalah hari gelap bagi semua yang terbabit,” katanya.

Peraturan keselamatan Fifa mengatakan senjata api atau gas kawalan orang ramai boleh digunakan pada perlawanan.

Polis dan pegawai sukan dihantar ke bandar Malang untuk menyiasat insiden yang menjadi antara bencana stadium paling maut di dunia.

Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, Phil Robertson yang berpangkalan di New York berkata, semua pihak yang bertanggungjawab harus bertanggungjawab atas bencana ini tanpa mengira status atau kedudukan mereka.

“Ini tidak cukup dengan hanya polis dan Persatuan Bola Sepak Indonesia sahaja menjalankan siasatan sendiri kerana mereka mungkin tidak telus terutama membabitkan pegawai mereka,” katanya.

Akhbar harian Indonesia, Tempo hari ini menyiarkan tragedi itu berjudul Tragedi Bola Sepak Kami dengan cetakan warna hitam dan merah bersama senarai mangsa yang meninggal dunia.

Insiden Sabtu lalu itu berlaku ketika penonton yang panik cuba melarikan diri dari stadium yang penuh sesak.

Kekecohan dan rempuhan sesama penonton berlaku selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong dari pasukan tuan rumah yang kalah yang berlari ke padang pada penghujung perlawanan.

Pasukan tuan rumah Kelab Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, walaupun pihak berkuasa berkata, tiket tidak diberikan kepada peminat Persebaya atas kebimbangan keselamatan.–HARIAN METRO

Loading...
Terkini