comscore
Tumpuan :
Dunia

Saintis Oxford uji virus Nipah

Virus Nipah boleh menyebabkan kematian

LONDON: Saintis Oxford sedang menilai sama ada teknologi di sebalik suntikan COVID-19 boleh digunakan untuk melindungi manusia daripada virus Nipah.

Andai ujian klinikal itu berjaya, ia akan menjadi vaksin pertama seumpamanya untuk penyakit berkenaan.

Sejak seminggu yang lalu, beberapa orang sudah menerima suntikan di University of Oxford sebagai sebahagian daripada ujian klinikal membabitkan manusia yang pertama bagi vaksin baharu itu.

Pembangun vaksin COVID, Profesor Dame Sarah Gilbert berkata penyelidikan mengenai vaksin Nipah bermula pada 2017 dan dihentikan semasa krisis COVID-19.

Kelawar membawa virus Nipah

Wabak Nipah boleh membawa maut dan banyak dikesan di Asia Tenggara, beberapa kawasan lain di Asia khususnya Asia Selatan dan Tenggara Afrika.

Virus Nipah boleh berjangkit kepada manusia melalui haiwan seperti kelawar atau babi atau makanan yang tercemar dan juga boleh dijangkiti secara langsung dari manusia ke manusia.

Sejak virus itu mula dikenal pasti kira-kira 25 tahun lalu, sehingga kini masih belum ada vaksin yang tersedia untuk membantu ketika wabak berlaku.

Namun, vaksin baharu, ChAdOx1 NipahB, boleh menjadi yang pertama jika mencapai jangkaan keselamatan dan keberkesanan.

Seramai 51 orang yang berumur 18 hingga 55 tahun akan menyertai ujian klinikal itu dan projek ini akan berlangsung selama 18 bulan dengan ujian seterusnya dijangka dilakukan di negara yang terjejas oleh virus berkenaan. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini