comscore
Tumpuan :
Dunia

Sanggup jual anak asalkan dapat beli iPhone 14

NEW DELHI: Sepasang suami isteri tergamak menjual bayi mereka yang berumur lapan bulan untuk membeli iPhone 14 diidamkan.

India Times melaporkan, pasangan dari Utara 24 Benggala Barat dipercayai mahu membeli telefon pintar berkenaan untuk merakam video dan gambar ketika mengembara ke seluruh rantau India bagi dimuat naik ke ‘Reels’ Instagram (IG).

Tindakan mereka mendapat kecaman hingga pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap pasangan terbabit dalam urus niaga dan wanita yang membeli bayi berkenaan.

Wanita bernama ‘Sathi’ itu akhirnya ditahan polis manakala bapa bayi, Jaydev Ghosh, masih belum ditemui dan pihak berkuasa sedang berusaha menjejakinya.

Difahamkan, jiran terdekat menyedari tingkah laku pelik pasangan itu yang tidak kelihatan risau atau cemas selepas anak mereka hilang.

Lebih membuatkan mereka curiga apabila keluarga Ghosh tiba-tiba mendapat iPhone 14 yang mahal, iaitu berharga kira-kira 100,000 rupee (kira-kira RM5,529) sedangkan keluarga itu mempunyai masalah kewangan.

Tambah mengejutkan jiran terdekat apabila pasangan itu mengakui menukar bayi kesayangan mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli iPhone 14.

Menurut jiran, Jaydev kemudian cuba menjual anak perempuannya yang berumur tujuh tahun.

“Selepas menjual bayi lelaki itu, Jaydev cuba menjual anak perempuannya pula pada tengah malam Sabtu.

“Kami memaklumkan kepada polis sebaik sahaja mengetahuinya dan polis sudah menahan Jaydev,” kata ahli majlis tempatan Tarak Guha.

Jaydev dan isterinya serta wanita yang membeli bayi mereka kini berdepan pertuduhan berat berkaitan kes pemerdagangan manusia.

Polis masih menjalankan siasatan dan belum mendedahkan butiran lanjut kes itu. – AGENSI

Loading...
Terkini