comscore
Tumpuan :
Dunia

Satu daripada manuskrip al-Quran tertua di dunia dipamerkan di Paris

Foto REUTERS: Manuskrip Al-Quran tertua di dunia, al-Quran Kattalanggar.

KUALA LUMPUR: Salah satu manuskrip al-Quran tertua di dunia, al-Quran Kattalanggar akan dipamerkan di Paris akhir bulan ini dan didedikasi buat Uzbekistan.

Dua muka surat daripada manuskrip berusia berabad-abad akan dipamerkan dalam pameran Treasures of the Oases Uzbekistan. At the Crossroads of Caravan Routes, yang akan diadakan di Louvre dari 23 November hingga 6 Mac 2023.

Satu lagi pameran, On the Road to Samarkand. Colors and Splendours of Uzbekistan, akan diadakan di Institut Dunia Arab dari 23 November hingga 4 Jun 2023.

Menurut kenyataan yang diterima Bernama daripada kedutaan Uzbekistan, al-Quran Kattalangar abad kelapan itu adalah antara manuskrip terpenting dunia Islam.

Al-Quran Kattalangar mempunyai nilai signifikan yang besar bagi Islam dan Muslim, dengan ia menunjukkan nilai-nilai yang membentuk warisan budaya dan sejarah tamadun manusia, menurut kenyataan itu.

Al-Quran itu berada di masjid Langar-ota di daerah Kamashi di wilayah Kashkadarya untuk tempoh masa yang lama.

Dalam dunia Islam, ia dianggap sebagai satu daripada Mushaf paling kuno.

Ahli arkeologi di Muzium Louvre dan kurator pameran itu, Rocco Rante dipetik sebagai berkata adalah amat penting untuk memasukkan al-Quran Kattalangar dalam senarai barang pameran.

“Pengunjung dapat melihat seni khat dan miniatur unik yang terkandung, dan al-Quran itu akan dipamerkan dalam sebuah kotak yang direka khas,” katanya.

Pameran Treasures of the Oases of Uzbekistan. At the Crossroads of Caravan Routes juga akan memperincikan sejarah Laluan Sutera, dari bahagian selatan Uzbekistan masa kini.

Ia akan mempamerkan elemen seni monumental dan kuda-kuda, lukisan dinding, butiran ukiran istana dan objek seni dan kraf.

Sementara itu, pameran On the Road to Samarkand. Colors and Splendours of Uzbekistan akan memperlihatkan lebih 300 pameran daripada sembilan muzium di Uzbekistan.

Ia merangkumi koleksi tekstil, pakaian, alas kaki dan penutup kepala, barang kemas pada akhir abad ke-19 – pertengahan abad ke-20, chapan (sejenis pakaian) bersulam emas dari zaman Emirat Bukhara, termasuk lukisan avant-garde Turkestan daripada koleksi muzium negara Uzbekistan.

“Proses pemulihan turut dijalankan ke atas patung Buddha ‘Garland Bearer’ (abad ke-1 SM dan abad ke-1 Masihi) – permukaannya telah dibersihkan, dan bahagian yang rosak disatukan.

“Sejak tiga tahun lalu, persediaan rapi untuk pameran itu telah dijalankan. Beberapa ekspedisi antara Uzbekistan-Perancis membawa kepada banyak penemuan arkeologi.

“Tambahan pula, pakar pemulih dari Louvre termasuk dari Uzbekistan menjalankan kerja-kerja pemulihan berskala besar dalam beberapa peringkat, manakala proses pemulihan beberapa artifak masih diteruskan sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini