comscore
Tumpuan :
Dunia

Satu lagi roket bawa bekalan untuk pembinaan stesen angkasa lepas baharu China dilancarkan

Foto AFP

BEIJING: China hari ini melancarkan satu lagi roket ke angkasa lepas membawa bekalan untuk pembinaan stesen angkasa lepas yang baharu.

Sebuah roket Long March 7 membawa kapal kargo Tianzhou 5 berlepas dari pusat pelancaran Wenchang di kepulauan Hainan di selatan China hari ini.

Penerbangan kargo itu adalah sebahagian daripada persediaan bersejarah dalam program angkasa lepas China iaitu pertukaran kru pertama di angkasa lepas.

Tiga lagi angkasawan dijangka dihantar menjelang hujung bulan ini bagi menyertai tiga lagi rakan mereka, Chen Dong, Liu Yang dan Cai Xuzhe, untuk tinggal di stesen angkasa yang hampir siap.

Kru sedia ada dijadualkan pulang ke bumi pada Disember ini. Tianzhou 5 adalah misi ke-10 bagi pembinaan dan pembekalan bahan untuk stesen angkasa itu.

Minggu lalu, China dikritik pelbagai pihak selepas serpihan daripada penggalak roket Long March 5B milik China yang dilancarkan ke angkasa lepas pada 31 Oktober lalu dijangka memasuki ruang udara bumi dan tidak pasti di mana ia akan terhempas.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi Beijing apabila serpihan roket berkenaan ditemui terhempas di perairan Filipina, tanpa mengakibatkan sebarang musibah.

Sehubungan itu, pihak berwajib menggesa Filipina meratifikasi dua perjanjian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pampasan bagi kerosakan atau kecederaan ditimpa serpihan dari angkasa lepas. – AGENSI

 

Loading...
Terkini