comscore
Tumpuan :
Dunia

Saya Tidak Gentar – Sunak

Sunak berucap di luar 10 Downing Street, London, hari ini. (FOTO: AFP)

LONDON: Perdana Menteri baharu Britain, Rishi Sunak, menegaskan beliau tidak gentar dengan skala cabaran yang sedang menantinya, malah berikrar untuk menerajui negara ini mengharungi krisis ekonomi dan membina semula kepercayaan dalam politik.

Beliau yang menempa sejarah sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di Britain, dan pemimpin termuda menerajui pentadbiran negara ini dalam tempoh lebih 200 tahun, memikul tugasan getir untuk menamatkan perbalahan politik serta menangani isu perubahan radikal dalam dasar yang dilapor telah menakutkan pelabur dan sekutu antarabangsa sebelum ini.

Pemimpin berusia 42 tahun itu menjelaskan, keputusan sukar juga bakal terpaksa dibuat dalam usahanya ke arah mengurangkan perbelanjaan awam dan membetulkan ‘kesilapan’ dilakukan Perdana Menteri terdahulu, Liz Truss, ketika Britain diancam kemelesetan ekonomi.

Dalam ucapannya di luar kediaman rasmi Perdana Menteri di Downing Street, hari ini, Sunak berkata, beliau cukup sedar bahawa Britain sedang bergelut dengan keadaan sukar.

“Saya juga faham bahawa ada tugasan perlu saya laksana bagi memulihkan semula kepercayaan, selepas segala yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan ialah saya tidak gentar. Saya tahu jawatan tinggi yang saya terima ini, dan berharap dapat memenuhi tuntutannya,” katanya.

Sunak, antara individu terkaya di Parlimen Britain, dijangka memotong perbelanjaan untuk ‘menutup lubang’ dianggarkan mencecah 40 bilion pound (RM217 bilion) dalam kewangan awam yang diakibatkan oleh kemelut kelembapan ekonomi, kos pinjaman lebih tinggi dan skim sokongan tenaga.

Namun dengan situasi populariti partinya yang dilihat semakin merosot, Sunak dijangka berdepan peningkatan desakan untuk mengadakan pilihan raya jika beliau mengetepikan terlalu banyak janji yang telah membantu Parti Konservatif mencapai kemenangan pada 2019.

Sunak berjanji untuk memfokus pada aspek keyakinan dan kestabilan ekonomi sebagai agenda utamanya.

“Ia bermakna keputusan sukar bakal menyusul,” katanya sejurus menerima titah Raja Charles III untuk membentuk kerajaan, hari ini, sambil berikrar untuk mendahulukan keperluan awam berbanding politik. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini